Pembatalan ECRL Pedihkan Rakyat, Jadi Cermin Ketidaksepakatan Kabinet PH
KUALA LUMPUR, 29 Jan – Sahlah projek ECRL bagi negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung sudah dibatalkan dengan syarikat CCCC dari China, selepas ia banyak diperkatakan dan didedahkan oleh media sejak seminggu lalu.
Jabatan Komunikasi Strategik Penerangan UMNO Malaysia menganggap pembatalan projek bernilai RM81 bilion itu amat memedihkan perasaan rakyat negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan yang sememangnya mengharapkan ia akan membantu meningkatkan ekonomi mereka.
Katanya, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa projek itu bakal membebankan Malaysia dengan hutang sehingga 30 tahun, tidak dapat diterima logiknya kerana ia sudah menjalani kajian menyeluruh di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Malah, ada bahagian laluan ECRL sudahpun memulakan kerja asas dan mengambil kira-kira 30,000 pekerja tempatan dan asing.
“Baru semalam (Isnin) Dr Mahathir ada menyebut kemungkinan surat pembatalan yang disiarkan dalam media sosial itu sengaja diputar belit atau diubah bagi menggambarkan keadaan sebenar.
“Hari ini pula, beliau membuat pengakuan mengenai pembatalan itu. Biarpun keputusan Kabinet mengenai projek itu akan dibuat pada minggu hadapan, ia dipercayai akan berkubur terus bersama-sama harapan rakyat Pantai Timur,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, kemelut ECRL ini juga mencerminkan tidak wujudnya kesepakatan di dalam Kabinet Pakatan Harapan apabila dua menterinya, Azmin Ali dan Lim Guan Eng saling berpolemik mengenainya.
“Dari segi politik, ia dilihat cara Dr Mahathir yang sudah diketahui umum sebagai ‘hukuman’ ke atas rakyat tiga negeri itu yang enggan berada di bawah kerajaan PH. “Sebaliknya mereka memilih untuk mewujudkan kerajaan BN di Pahang, serta Pas di Terengganu dan Kelantan.
“Ia satu cara kezaliman politik terhadap rakyat yang selama ini melihat ECRL sebagai koridor pembangunan sahsiah ekonomi negeri masing-masing.”
Jelasnya, di sudut ekonomi pula, walaupun Kabinet memutuskan untuk membina ECRL pada masa depan, mungkin lima atau 10 tahun lagi, ia bakal menyaksikan kosnya meningkat dua atau tiga kali ganda.
“Dr Mahathir sendiri pernah berkata di sekitar tahun 90an apabila ditanya wartawan mengenai rancangannya membina KLIA selepas Subang: Jika bukan sekarang, kosnya akan meningkat dua tiga kali ganda pada masa hadapan.”
“Kita simpati dengan nasib rakyat Pantai Timur. Selepas bertahun-tahun BN merancang pembangunan masa depan untuk mereka, ia berkubur dalam sekelip mata di bawah kerajaan Pakatan,” katanya lagi. – MediaUMNO