BN Yakin Terus Pertahan Parlimen Cameron Highlands
TANAH RATA, 25 Jan – Walaupun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands hanya akan diketahui esok tetapi petunjuk yang memberikan bayangan pemenang bagi kerusi tersebut seperti sudah diketahui.
Khabar dari tanah tinggi yang subur dengan pelbagai sayuran dan buah strawberi itu memberikan isyarat bahawa Barisan Nasional (BN) yakin untuk memenangi kerusi yang selama ini menjadi deposit tetap kepada parti tersebut.
Difahamkan pengundi-pengundi Melayu, India dan Orang Asli Cameron Highlands akan terus memilih lambang dacing sebagai simbol yang mewakili mereka sejak sekian lama.
Undi Orang Asli dilihat sebagai penentu kerana mewakili 21 peratus daripada 32,009 jumlah pengundi. Sementara, pengundi-pengundi Cina diramal berbelah bahagi untuk memilih parti Dap yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menerusi calonnya, M. Manogaran.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), C. Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.
Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon Dap, M Manogaran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (Pas – 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa – 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM – 680 undi).
Menurut beberapa pemerhati, program-program anjuran PH yang dikatakan hambar dan dipandang dingin daripada pengundi adalah antara petunjuk namun demikian ia tidak boleh dipandang remeh kerana situasi ini sama seperti yang pernah berlaku kepada BN pada PRU-14.
Disebabkan oleh kelebihan yang dimiliki oleh BN, parti itu seolah-olah mendapat satu kekuatan selepas tidak bermaya dalam siri PRK yang dijalankan baru-baru ini apabila cubaan untuk merampas kerusi PH gagal.
Sepanjang tempoh berkempen yang akan berakhir tengah malam ini, parti komponen BN iaitu MCA dan MIC nampaknya bekerja dengan kuat demi untuk mendapatkan kemenangan pertama di Cameron Highlands selapas PRU-14.
Kekuatan BN diperkemaskan lagi dengan jentera Pas yang menjalankan gerak kerja termasuk pemimpin-pemimpin hebat daripada parti itu termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Jika diimbas, langkah PH kelihatan sumbang ketika mula-mula masuk gelanggang apabila tindakan Ahli Dewan Negara PKR, Bob Monalan mengugut Tok Batin ketika hadir pada sesi dialog di Pos Betau, Jelai dekat Cameron Highlands sehingga mencetuskan amarah dan dendam kesumat dalam hati pengundi.
Belum pun reda kemarahan Orang Asli, timbul pula isu pengagihan duit minyak kepada sukarelawan oleh seorang petugas kempen PH yang akhirnya menjadi modal untuk PH diserang bertalu-talu.
Walaupapun jawapan yang diberikan sudah tentu perkara tersebut tidak boleh diterima banyak pihak kerana PH selama ini sering memperjuangkan prinsip ketelusan dan integriti.
Suhu tanah tinggi yang sebelum ini sejuk menjadi semakin panas selepas satu lagi isu timbul membabitkan penggunaan kenderaan milik kerajaan walaupun pemimpin PH lantang tidak menyalahgunakan kuasa.
Perkara itu dilakukan atas arahan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP).
Isu tersebut berlarutan sehingga mencetuskan kekocehan antara Tengku Zulpuri dengan jentera BN. Ekoran daripada itu, calon BN, Ramli Mohd Nor telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Koyan mengenai kes dua lelaki memakai baju PH yang dikesan menggunakan kenderaan kerajaan untuk melakukan tugasan parti dalam kempen tersebut.
Sebelum ini, tular di laman sosial sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kedua-dua lelaki tersebut mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang disembunyikan di bawah bendera parti PH dan Jalur Gemilang.
Berdasarkan semua insiden yang telah berlaku mula memperlihatkan bahawa amat sukar bagi PH untuk menang.
Perkara itu diakui sendiri oleh Naib Presiden Dap, M. Kulasegaran yang telah turun padang dan berjumpa sendiri dengan para pengundi pada 21 Januari lalu selepas melihat ‘trend’ pengundi Orang Asli.
Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir untuk berkempen di Dataran Sungai Koyan. Dengan kehadiran pemimpin nombor satu negara itu, PH amat berharap agar dapatkan aura positif supaya kembali menyokong parti itu.
Yang pasti, esok adalah penentu bagi memastikan siapa pemilik kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan para pengundi dinasihatkan untuk hadir mengundi.
Adakah kehadiran Tun akan mampu mendapat sambutan hangat seperti yang diterima oleh Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan memesongkan pengundi di Cameron Highlands ini?
Kita lihat sahaja nanti apa yang akan disebarkan di media sosial. – MediaUMNO