PRK Cameron Highlands: UMNO Pulau Pinang Bawa Pendekatan Berbeza Dekati Pengundi
TANAH RATA, 24 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, UMNO negeri itu membawa pendekatan berbeza bagi mendekati pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands di sini.
Jelas beliau, bagi mendekati kaum India, UMNO Pulau Pinang telah membawa 10 individu yang fasih berbahasa Tamil agar dapat mendekati masyarakat tersebut secara lebih berkesan.
“UMNO Pulau Pinang telah ditugaskan untuk menjaga di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Terla dan dikawasan ini mempunyai seramai 899 pengundi India. Maka cara lebih baik untuk berkempen dengan mereka ini sudah pasti menggunakan bahasa Tamil.
“Setakat ini kami telah berkempen rumah ke rumah dan kini kami sedang berbincang untuk membawa mereka keluar pada hari mengundi nanti,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Selain itu, Musa turut menggesa agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang serius terhadap dakwaan mengugut Tok Batin di PRK ini.
“Telah ada khabar angin tentang perkara ini namun kami UMNO Pulau Pinang akan berkampung di sini dan memastikan sekiranya benar wujud perkara sebegini, kami akan membuat laporan segera,” katanya lagi. – MediaUMNO