Kerjasama UMNO PAS Semakin Mantap, Berstruktur, Berfokus Untuk Raih Kemenangan – Ismail Sabri


JELAI, 24 Jan – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands memperlihatkan kerjasama dan permuafakatan antara UMNO, Barisan Nasional (BN) dan PAS semakin mantap dalam usaha memastikan kemenangan, kata Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penubuhan jawatankuasa bersama menjadikan gerak kerja antara kedua-dua parti lebih tersusun dan terarah berbanding sebelum ini yang hanya melibatkan kempen-kempen seperti ceramah atau ziarah rumah ke rumah, jelasnya lagi.

“Kerjasama antara UMNO dan PAS ini kalau kita lihat sudah bermula awal, dalam Parlimen, di dalam tiga PRK yang lepas di Selangor… cuma kali ini nampak lebih mantap lagi.

“Kalau dulu agak ‘loose’ sikit, mungkin ada perjumpaan secara ‘one off’ dan sebagainya tapi kali ini kita mewujudkan jawatankuasa bersama sejak dari awal apabila diumumkan, selepas penamaan calon kita terus mengadakan mesyuarat berkala, hari ini kali yang terakhir ini untuk kita bermesyuarat.

“Jadi, mesyuarat ini secara berkala dan ‘very structured’ dari segi jawatankuasa yang kita bentuk dan fokus kita secara menyeluruh. Kalau dulu mungkin dari segi mengatur program antara pemimpin PAS dan pemimpin UMNO seperti berceramah ataupun rumah ke rumah tapi kali ini lebih daripada itu,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Ahli Parlimen Bera itu lagi kerjasama tersebut bukan sahaja memfokuskan ketika berkempen malahan hingga ke hari pengundian.

“Fokus kita bukan setakat waktu kempen tetapi sehingga hari mengundi, sehingga ke perkara yang lebih ‘detail’ seperti mengeluarkan pengundi; PAS mengeluarkan pengundi; UMNO mengeluarkan pengundinya dan juga merayu undi di hari mengundi.

“Muslimat PAS misalnya akan datang sama-sama dengan wanita UMNO untuk merayu undi untuk hari terakhir hari mengundi, itu lebih penting sebab dalam pilihan raya tidak ada yang lebih penting selain hari mengundi tersebut. Tapi kalau dulu kita tak sampai tahap begitu, kita cuma bantu berkempen,” katanya.

Permuafakatan UMNO dan PAS juga jelasnya dapat diterima dengan baik di peringkat akar umbi.

“Penerimaan akar umbi begitu baik sekali dengan kerjasama ini sebab kita lihat waktu program rumah ke rumah walaupun tidak semua muslimat PAS pergi bersama dengan wanita UMNO tapi ada beberapa kawasan yang mereka pergi bersama dan penerimaannya begitu baik.

“Begitu juga dengan program ceramah dan sebagainya kalau kita lihat apabila Tok Mat Hasan (Datuk Seri Mohamad Hasan) selaku Timbalan Presiden UMNO bersama dengan Presiden PAS Tuan Guru Haji Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) adakan ceramah perdana di sini, sambutannya begitu menggalakkan.

“Dan kalau kita lihat dari segi kerjasama di kalangan Pemuda misalnya apabila konvoi bermotor Pemuda UMNO dan Pemuda PAS dan mereka bersama-sama konvoi bermotor dan penerimaan dari ‘grass root’ begitu baik sekali,” jelasnya.

Begitu juga tambahnya apabila mendapat reaksi positif masyarakat Melayu dan Islam di negara ini yang gembira melihat penyatuan antara dua parti tersebut.

“Dan bagi orang Melayu, orang Islam inilah yang dinantikan, kalau kita lihat penyatuan ini menggembirakan hati semua pihak terutamanya di kalangan orang Melayu Islam di akar umbi,” katanya. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.