Kerajaan Pahang Rafak Sembah Tahniah Al-Sultan Abdullah Dilantik Agong

KUANTAN 24 Jan. – Kerajaan negeri merafak sembah tahniah atas pelantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berkuat kuasa 31 Januari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rakyat negeri ini bersyukur dan berbangga dengan pelantikan itu yang telah disempurnakan pada mesyuarat khas Majlis Raja-raja Melayu hari ini.

“Sebagai mewakili rakyat negeri ini, saya penuh berkeyakinan, Al-Sultan Abdullah dapat memikul tanggungjawab ini dengan jaya dan cemerlang.

“Seterusnya dapat membawa kejayaan yang lebih gemilang kepada negara yang tercinta, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataannya hari ini berkata, Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari ini.

Syed Danial berkata, baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Lantikan itu diputuskan selepas mesyuarat khas Majlis Raja-raja di Istana Negara hari ini. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.