PH Ditempelak Serang Peribadi Calon BN, Tiada Modal Untuk Tarik Sokongan Pengundi
TANAH RATA, 23 Jan – Naib Presdien UMNO Datuk Seri Khaled Nordin membidas sikap Pakatan Harapan (PH) yang terus-terusan menyerang keperibadian calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, di sini.
Jelas beliau, memang sudah menjadi tabiat PH terutamanya Dap hanya tahu bercakap dan membangkitkan kelemahan atau kegagalan kerana mereka masih menganggap mereka itu pembangkang.
“Kalau BN jadi kerajaan semula, sudah pasti Orang Asli layak untuk jaga Orang Asli sama ada di kementerian dan sebagainya tapi soalnya kita sudah mulakan usaha. PRK Cameron Highlands ini adalah buktinya di mana BN mengangkat calon daripada masyarakat Orang Asli.
“Dap hanya tahu cakap… hanya membangkitkan kelemahan dan kegagalan kerana ini satu sikap, ini sahaja yang mereka tahu sebab mereka masih anggap mereka adalah pembangkang,” ujar beliau ketika ditemui oleh UMNO-Online.
Tambah Khaled, beliau percaya calon BN, Ramli Mohd Nor adalah calon paling sesuai kerana beliau bukan sahaja orang tempatan tetapi mewakili masyarakat Orang Asli.
“Ini dengan sendirinya menunjukkan BN mengambil pendekatan yang sangat inklusif mengiktiraf masyarakat Orang Asli dan inilah peluang terbaik untuk masyarakat ini mempunyai wakil rakyat yang terdiri daripada kalangan mereka sendiri.
Bercakap berkaitan PRK Cameron Highlands ini pula ujar Khaled, beliau yakin para pengundi di sini bijak untuk memilih siapa selayaknya diangkat sebagai wakil mereka.
“Kalau kita lihat pada PH dan Dap, sepanjang Dap wujud mereka tidak pernah memperjuangkan Bumiputera ataupun Orang Asli kerana konsep mereka ‘Malaysian Malaysia’ iaitu memberi penekanan kepada individu yang berupaya untuk mencapai kecemerlangan manakala Bumiputera masyarakat Orang Asli merupakan golongan yang memerlukan pembelaan dan tidak menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan oleh Dap.
“Oleh itu saya berharap dan percaya pengundi di Cameron Highlands ini dapat membuat pilihan yang tepat berasaskan kepada calon, di samping itu saya percaya rakyat juga sedar bahawa sejak PRU-14, janji PH tidak boleh dipercayai.
“Antaranya kerajaan sedia ada tidak dapat menunaikan janji-janjinya dan banyak perkara-perkara yang mereka mendapat sokongan daripada rakyat dulu, adalah daripada sumber tidak benar… perkara yang sengaja diada-adakan untuk mendapat undi dan akhirnya pengundi sedar mereka diperdayakan seperti harga barang naik kerana GST.
“PH juga memperdayakan masyarakat dengan janji-janji yang mereka memang tidak boleh laksanakan dan kita juga boleh lihat mereka tidak langsung mempunyai dasar-dasar atau pendekatan bagaimana hendak bangunkan negara termasuklah negeri misalnya dalam bajet yang dibentangkan baru-baru ini.”
Tegasnya, walaupun tahu keadaan ekonomi tidak begitu baik diseluruh dunia termasuk Malaysia maka sudah tentulah wajar untuk difikirkan bagaimana untuk melonjakkan kedudukan ekonomi negara supaya rakyat tidak terkesan tetapi dapat lihat pembentangan bajet langsung tiada usaha untuk melonjakkan ekonomi.
“Justeru, kita yakin pengundi di Cameron Highlands akan membuat keputusan yang tepat dan sebagai tanda ‘cukup-cukuplah’ memperdayakan rakyat,” ujar beliau dengan lagi. – MediaUMNO