Jauh Di Sudut Hati Mahathir Pun Sebenarnya Mahu Calon BN Menang – Annuar Musa

JELAI, 21 Jan – “Jauh di sudut hati (Tun) Mahathir sebenarnya  mahu calon BN menang di PRK Cameron Highlands ini,” ujar Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah umum bersama pemimpin Pas di Kampung Beletik di sini, Ahad malam.

Dalam ucapannya beliau turut menceritakan sewaktu Mahathir memanggil pemimpin UMNO untuk berbincang, Mahathir telah mencadangkan untuk UMNO dibubarkan dan seterusnya memperkuatkan parti PPBM kerana dirinya sudah tidak tertahan dengan desakan Dap.

“Bila Mahathir panggil pemimpin UMNO untuk membubarkan UMNO dan memperkuatkan parti dia, alasan Mahathir beri adalah dia tersepit dan tidak tertahan dengan apa yang Dap sedang lakukan kepada dia.

“Jadi saya berani nyatakan dalam hati kecil Mahathirpun dia nak calon BN menang dalam PRK Cameron Highlands ini,” ujar beliau.

Tambah Annuar, Mahathir kini tidak mampu untuk melakukan apapun kerana dalam soal politik ia bergantung kepada jumlah kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti itu.

“Kalau boleh Mahathirpun tidak mahu Menteri Kewangan dipegang oleh Lim Guan Eng tapi bercakap bab parti, ok kamu nak jadi Perdana Menteri ok… PKR nak jadi Timbalan ok tapi dia nak duduk di mana-mana.. maka dia pilih jawatan yang paling berkuasa daripada Perdana Menteri… Menteri Kewangan dalam hierarki lebih berkuasa dari Perdana Menteri.

“Mahathir 23 tahun jadi Perdana Menteri tidak pernah meluluskan peruntukan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina yang tidak mengikut dasar pelajaran kebangsaaan kerana setiap wang negara yang hendak dibelanjakan mesti lulus dalam Parlimen baru boleh dibelanjakan.

“Perbelanjaan untuk sekolah Cina persendirian yang tidak mengikut dasar pelajaran kebangsaan sebenarnya tidak sah untuk dibelanjakan daripada tabung wang kerajaan tetapi kuasa Menteri Kewangan boleh mengatasinya,” tegas Annuar.

Justeru, UMNO perlu bangkit dan menang kembali kerana ia bukan sekadar menang pilihan raya tetapi ia adalah soal tanggungjawab untuk memerintah demi menegakkan apa yang telah Allah pertanggungjawabkan. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.