Kerajaan Pusat Hina ‘Inteligen’ Orang Asli
KUALA LUMPUR, 20 Jan – Kerajaan Pusat nampak tergesa-gesa menyaman Kerajaan Kelantan atas dakwaan menceroboh tanah masyarakat Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor Gua Musang sedangkan saman itu jelas berunsur politik kerana dibuat ketika kempen PRK Cameron Highland sedang berlangsung, kata Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Katanya, kebetulan BN meletakkan calon Orang Asli yang ibunya pula dari suku Temiar.
“Oleh kerana undi Orang Asli penting maka saman itu adalah muslihat untuk meraih sokongan mereka kerana PH amat gusar menghadapi kejutan BN yang meletakkan calon Orang Asli.
“Begitu cepat sekali Peguam Negara mengambil tindakan. Kenapa Peguam Negara tidak mengambil tindakan segera terhadap Senator Bob Manolan Mohamad yang mengugut Tok Batin bahawa mereka akan dipecat dan elaun tidak akan dibayar jika tidak sokong calon DAP?” soalnya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, laporan polis terhadap Bob Manolan sudah dibuat.
“Ugutan Bob Manolan adalah penghinaan terhadap ‘inteligen’ Orang Asli, maka tindakan saman Kerajaan Pusat terhadap Kerajaan Kelantan untuk meraih undi sebenarnya juga menghina inteligen Orang Asli.
“Justeru, lebih baik Masyarakat Orang Asli memilih Ahli Dewan Rakyat mereka yang pertama kerana dia boleh jadi pemantau sama ada Kerajaan PH serius melaksanakan saman tersebut dan menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli keseluruhannya,” katanya lagi. – MediaUMNO