Guna Jentera Kerajaan: Khairy Selar Kerajaan PH Cakap Tidak Serupa Bikin
TANAH RATA, 20 Jan – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyelar kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang cakap tidak serupa bikin apabila menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Jelas beliau, sebelum ini PH seringkali menuduh Barisan Nasional (BN) (semasa menjadi kerajaan pusat) menggunakan jentera kerajaan tetapi kini rakyat boleh melihat sendiri apa yang PH lakukan.
“Saya sangat kesal sebab sebelum ini PH banyak menuduh BN menggunakan jentera kerajaan tetapi rakyat boleh melihat sebenarnya PH yang cakap tidak serupa bikin. Contoh terbaru kita dapat lihat kenderaan Jabatan Hutan digunakan dalam kempen PRK di sini yang dibalut dengan poster PH, ini tidak termasuk lawatan yang dibuat oleh menteri-menteri sempena PRK Cameron Highlands.
“…alasan diberi kebetulan atau telah dirancang lebih awal lagi… termasuklah Menteri Pertahanan yang datang dengan menggunakan kenderaan ATM. Ini menunjukkan bahawa tindakan PH menggunakan jentera kerajaan semakin bertambah dan apa yang mereka cakap selama ini BN guna jentera kerajaan, sebenarnya mereka yang mengamalkan dengan lebih teruk lagi,” ujar beliau kepada media selepas melawat di Kampung Sungai Ruil di sini.
Bercakap berkaitan kampung tersebut Khairy menjelaskan, Kampung Sungai Ruil adalah bukti bahawa kerajaan terdahulu tidak pernah mengabaikan masyarakat Orang Asli.
“Sungai Ruil adalah contoh pembangunan 172 unit rumah yang dibangunkan oleh kerajaan BN selepas tragedi tanah runtuh beberapa tahun yang lalu. Ini bukti Cameron Highlands sentiasa mendapat perhatian kerajaan sebelum ini maka tuduhan yang mengatakan tidak ada pembangunan di Cameron Highlands adalah tidak tepat sama sekali,” tegas Khairy lagi. – MediaUMNO