Calon PH Hanya Pandai Buat Tohmahan, ‘Gajah Di Depan Mata Tak Nampak?’ – Wan Rosdy

JELAI, 20 Jan – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menempelak calon Pakatan Harapan (PH) dari parti Dap, M.Manogaran yang berterusan membuat tohmahan tanpa fakta.

Tindakan Manogaran itu bidas Wan Rosdy boleh diibaratkan seperti pepatah Melayu ‘gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang lautan kelihatan’.

Terbaharu, Manogaran menuduh Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai tidak membuat apa-apa usaha bagi menyediakan jaringan jalan raya yang sempurna di kawasannya.

Ironinya, kelulusan peruntukan RM15 juta pada Ogos 2016 oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi pembinaan jalan raya sepanjang 30 kilometer (KM) antara Pos Betau dan Pos Lenjang telah dihentikan oleh kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tegasnya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Justeru Wan Rosdy menimbulkan persoalan yang mudah kepada calon PH tersebut yang sedang menikmati hasil pembangunan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pertama saya hendak tanyakan beliau; Laluan manakah yang diambilnya dari Tanah Rata – Ringlet ke Sungai Koyan dalam tempoh PRK (Pilihan Raya Kecil) Parlimen Cameron Highlands ini, jika tidak melalui jalan raya tanah tinggi Ringlet – Sungai Koyan sejauh 79.1 KM yang kerajaan BN bina dan siap pada Mac 2010?

“Ketika itu, saya sudahpun berada dalam penggal kedua saya sebagai Ahli Dewan Negeri Jelai, sejak pertama kali bertanding dan memenanginya pada PRU Ke-11 lagi pada tahun 2004.

“Saya juga ketika itu, berada pada penggal pertama sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri,” ujarnya lagi yang turut mengiringi Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Adnan Yaakob pada 20 Ogos 2009 membuat tinjauan sehari suntuk melihat perkembangan pembinaan jalan raya yang 80 peratus siap.

Tambahnya, pembinaan jalan raya oleh kerajaan BN itu yang bernilai RM806 juta telah memberi kemudahan dan kelegaan kepada rakyat setempat khususnya.

“Dengan adanya jalan raya tanah tinggi inilah telah memudahkan perjalanan darat dari Tanah Rata, turun ke Ringlet kemudian ke Lembah Bertam, seterusnya ke Hulu Telom, Pos Menson, Kampung Susu, Pos Betau hinggalah ke Sungai Koyan.

“Dengan adanya jalan raya tanah tinggi inilah juga maka Cameron Highlands boleh dikunjungi menerusi daerah dalam negeri ini sendiri iaitu Lipis.

“Sebelumnya, laluan ke tanah tinggi ini perlu melalui Perak sama ada menerusi Tapah atau Simpang Pulai, serta Kelantan menerusi Gua Musang,” katanya.

Pengerusi BN Pahang itu turut menyingkap sejarah pembinaan projek jalan raya ini yang bermula pembinaannya sejak tahun 1999 lagi.

“Ia melibatkan empat pakej iaitu pakej pertama laluan Sungai Koyan – Pos Betau (19 KM); pakej kedua, Pos Betau – Bukit Betong (22 KM); ketiga, Bukit Betong – Kampung Susu (19 KM); dan keempat, Kampung Susu – Ringlet (19.1 KM).

“Pakej ketiga laluan Bukit Betong – Kampung Susu ialah tertinggi kosnya, kira-kira RM233 juta. Sungguhpun panjangnya cuma 19 KM tetapi oleh kerana bentuk muka bumi bergunung-ganang, hingga memerlukan pembinaan sepuluh jambatan untuk merentasinya.

“Dan ada sebuah jambatan daripada kesemua sepuluh jambatan itu, panjangnya sehingga satu kilometer dengan kos bagi membinanya sahaja mencecah RM15 juta,” jelasnya lagi.

Seterusnya Wan Rosdy mengatakan beliau mampu mengetahui fakta-fakta tersebut kerana terlibat dengannya, sekurang-kurangnya menghadiri mesyuarat-mesyuarat serta perbincangan-perbincangan mengenainya.

Selain itu tambahnya lagi, pembinaan ‘feeder road’ turut diperjuangkan bagi kesempurnaan jajaran yang merentasi gunung-ganang tersebut.

“Selain daripada jalan raya Ringlet – Sungai Koyan ini, yang turut penting untuk saya kisah dan perjuangkan ialah pembinaan ‘feeder road’ termasuklah jalan antara Pos Betau dan Pos Lenjang yang dipohon dan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan BN pada tahun 2016. Tetapi dihentikan sejak PH mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada PRU lepas.

“Dalam pada itupun, jalan-jalan ‘feeder’ yang termasuk jalan-jalan luar Bandar, jambatan-jambatan seperti Jambatan Kuala Medang dan Jambatan Tanjung Gahai terus dibina manakala yang sedia ada diperbaiki dan dinaik-taraf dari masa semasa sepertimana jalan berhampiran simpang masuk ke Pos Sinderut.

“Dan ini merupakan ‘an ongoing process’ yang akan terus saya usaha dan jayakan demi kesejahteraan penduduk, InsyaAllah,” katanya. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.