UMNO Sabah Desak Kajian Lebih Mendalam Sebelum Kerajaan Pindah Milik SESB

KOTA KINABALU, 19 Jan – UMNO Negeri Sabah hari ini mendesak agar kajian yang lebih mendalam di lakukan sebelum sebarang aktiviti transisi atau pemindahan hak milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri Sabah.

Pengarah Strategik Dan Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, UMNO Sabah khuatir jika tindakan terburu-buru yang diambil bakal memudaratkan lagi SESB dan pembekalan tenaga di negeri ini seterusnya kebajikan kakitangan SESB di seluruh Sabah.

“Umum mengetahui sepanjang enam tahun yang lepas, SESB terpaksa mengambil suntikan dan bantuan daripada kerajaan dan TNB yang berjumlah lebih daripada 4.2 bilion.

“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan menjamin keadaan infra di Sabah dalam keadaan baik seperti yang termaktub di dalam perjanjian Malaysia.

“Kenyataan Menteri Tenaga Yeo Bee Bin dilihat seperti ingin lari dari tanggungjawab dan kita lihat, tindakan memulangkan balik SESB kepada kerajaan negeri Sabah sebagai tindakan lepas tangan,” ujarnya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah.

Tambahnya, kerajaan negeri Sabah pula jangan mengambil tindakan populis, yang mana akan mengadaikan nasib Sabah.

Ini kerana katanya, pada hari ini, kos penjanaan elektrik adalah sama dengan kos jualan sedia ada dan jika pengambilalihan ini berjalan, adakah kerajaan negeri bersedia untuk menanggung kos operasi SESB?

“Adakah kerajaan akan menaikkan tarif elektrik di Sabah bagi menampung kos operasi dan pembelian tenaga.

“Adakah kerajaan akan memperjudikan hak dan status pekerjaan anak Sabah yang 99.99% adalah anak jati Sabah?” soalnya lagi.

Terdahulu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin berkata, hak pemilikan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan dipulangkan semula kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh dua tahun ini.

Namun, ia terpulang kepada hasil perbincangan yang diputuskan melalui jawatankuasa khas yang dibentuk dalam proses pemulangan semula hak pemilikan itu.

Perbincangan itu juga akan melihat sama ada pemilikan itu perlu melibatkan sektor swasta ataupun bergantung sepenuhnya kepada sektor awam sahaja. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.