Hutang Negeri Pahang Bukan Satu Beban, Dilakukan Demi Keperluan Rakyat

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Sikap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mempertikaikan hutang kewangan negeri Pahang dalam sesi ceramah kempen Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dibidas.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit menganggap Guan Eng yang cuba memberi persepsi buruk kepada para pengundi di Cameron Highlands dengan menyatakan tahap hutang Negeri Pahang kepada kerajaan Pusat berjumlah RM3.1 Bilion dilihat tidak profesional dan cuma mengambil manfaat politik dengan kedudukan beliau sebagai
Menteri Persekutuan untuk memainkan sentimen menyerang parti pemerintah di negeri Pahang tanpa fakta yang kukuh.

“Pertama, Lim Guan Eng sendiri haruslah sedar dengan semangat pembentukan Persekutuan atau ‘Federalisme’, hutang ini sepatutnya tidak menjadi masalah dan kerajaan negeri Pahang sendiri dilihat tidak menghadapi apa-apa masalah untuk melangsaikan hutang-hutang tersebut.

“Sebanyak RM2.2 Bilion dari hutang negeri Pahang kepada kerajaan negeri Persekutuan ini dapat dilupuskan setelah penstrukturan air di negeri Pahang selesai sepenuhnya seperti yang telah dilakukan kerajaan persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) kepada negeri Pulau Pinang pada tahun 2011.

“Melalui kaedah tersebut, hutang negeri Pulau Pinang telah berkurang sebanyak RM655.2 Juta serta tambahan geran RM1.2 Bilion yang pada asalnya geran tanpa faedah telah berjaya mengurangkan kadar hutang Pulau Pinang kepada kerajaan Pusat. Kaedah ini jugalah yang akan digunakan oleh negeri Pahang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Temerloh, tambahan hutang kerana menanggung subsidi bekalan air tidaklah patut begitu dirisaukan oleh kerajaan PH ini kerana ia membuktikan kerajaan negeri Pahang membuat hutang untuk keperluan rakyat dan kerajaan negeri Pahang juga mampu membayar balik seperti kaedah yang juga telah dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang sebelum ini.

“Selain itu, RM200 Juta hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan adalah untuk menaiktaraf fasiliti untuk penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan RM40 Juta untuk pinjaman pengurusan bencana alam dan kebajikan mangsa yang terlibat dalam bencana alam tersebut.

“Kadar pinjaman hutang ini juga telah dirunding bersama kerajaan negeri Persekutuan dan kerajaan negeri Pahang dilihat tidak menghadapi masalah untuk membayar balik pinjaman ini.

“Hutang sebanyak RM760 Juta oleh negeri Pahang kepada kerajaan Persekutuan kemudian adalah untuk pembangunan perumahan kos rendah di negeri ini. Kerajaan negeri Pahang tidaklah terlalu tergesa-gesa untuk membayar semula pinjaman ini memandangkan kerajaan negeri memahami keperitan sebahagian peminjam untuk membayar balik pinjaman ini kepada kerajaan negeri.”

Jika ditinjau kembali, katanya, kesemua hutang negeri Pahang ini terpaksa dilakukan untuk keperluan rakyat negeri Pahang dan dengan semangat federalisme, sepatutnya hutang kerajaan negeri untuk keperluan bekalan air, sukan dan bencana alam dan perumahan adalah tanggungjawab bersama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Pastinya segala hutang kerajaan negeri Pahang ini dapat dijelaskan setelah proses mendapatkan balik hak hutang termasuk dari cukai tertunggak dari agensi kerajaan Pusat.

“Jumlah ini sekitar RM151 Juta. Ini termasuk hutang dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menggunakan bekalan air mentah dari kerajaan negeri Pahang untuk menjana kuasa empangan hidroelektrik di negeri Pahang termasuk di Loji Cameron Highlands.”

Malangnya, kata beliau, Lim Guan Eng sengaja tidak mendedahkan hal ini kepada pengundi di Cameron Highlands kerana sudah tentunya beliau lebih gemar dengan menyeleweng fakta demi kepentingan politik yang sempit.

“Kita semua pasti tidak lupa bagaimana Lim Guan Eng pernah menangis tersesak-esak meminta bantuan kerajaan Pusat membantu negeri Pulau Pinang ketika menghadapi musibah banjir pada November 2017.
“Atas tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, tentulah kerajaan BN membantu kerajaan negeri Pulau Pinang atas dasar Persekutuan.

“Setelah menjawat jawatan Menteri Kewangan, setiap kenyataan Lim Guan Eng kini haruslah bertanggungjawab dan berfakta berbanding menggunakan emosi serta propaganda tanpa pertimbangan semata-mata.”

Katanya lagi, sewajarnya Lim Guang Eng mula belajar untuk mentadbir dan menjaga keperluan rakyat dengan lebih baik dari kerajaan negeri Pahang berbanding memotong segala perbelanjaan untuk kemudahan rakyat yang akhirnya akan membuatkan kehidupan rakyat lebih menderita seperti yang dialami oleh setiap lapisan rakyat hari ini setelah diperintah oleh kerajaan PH di peringkat Persekutuan. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.