Jangan Ambil Mudah PRK Cameron Highlands, Cukup-Cukuplah ‘Gaduh’ Sesama Sendiri – Hishammuddin
JELAI, 16 Jan – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan jentera UMNO agar tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan menggesa agar semua pihak melangkah ke depan dalam usaha memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor.
Menurut beliau cukup-cukuplah semua pihak bergaduh sesama sendiri dan hari ini parti mempunyai agenda yang lebih besar dan ditambah pula dengan kecelaruan pihak kerajaan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) yang masing-masing tidak ada konsistensi sesama mereka.
“Cukup-cukuplah berbalah sesama kita, sekarang ini kita ada agenda yang lebih besar dan kita tahu siapa calon kita, kita tahu ini kerusi BN dan saya ucap terima kasih kepada pihak MIC yang melihat landskap politik baru ini dengan membawa persefahaman yang baru dalam pendekatan kita.
“UMNO dan BN sedar bahawa kita mempunyai kelemahan dan kekurangan sebelum pilihan raya tetapi ini masanya untuk perbaiki diri dan keduanya apabila mereka sendiri tidak ada konsistensi malah isu-isu semasa yang nak dijawab pun tidak sehaluan serta dasar-dasar kementerian pun nampaknya tidak konsisten dan benda-benda pokok macam veteran terbiar begitu sahaja.
“Jadi kita (pengundi)di Cameron Highland boleh sampaikan mesej kepada mereka. Cukup-cukuplah berpolitik dengan menuding jari kepada kerajaan dahulu dan sebagainya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu sebelum itu beliau mengadakan ramah mesra dan majlis santai bersama veteran tentera di Koyan Satu.
Menyentuh soal golongan tersebut, Hishammuddin yang juga mantan Menteri Pertahanan menegaskan sembilan bulan berlalu selepas PH mengambil alih kerajaan tidak menampakkan apa-apa perancangan untuk veteran.
Justeru beliau memberi jaminan untuk membantu Ramli di Parlimen dalam usaha mengenengahkan isu-isu yang berkaitan sekiranya calon BN itu diberikan peluang dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands nanti.
“Di Cameron Highlands ini adalah peluang keemasan untuk warga veteran kita bersuara di Parlimen dan jika Ramli diberikan peluang saya sendiri akan memberi jaminan untuk membantu beliau bersama-sama membawa isu-isu semasa yang ada kaitan dengan veteran ini supaya sekurang-kurangnya mereka masih ada suara di Parlimen selain ahli Parlimen BN yang lain. Kita perlu ramai lagi yang boleh menyuarakan perkara-perkara yang dekat dengan hati saya.
“Sembilan bulan berlalu tidak ada apa-apa perancangan diumumkan sama ada pihak kementerian berhubung kait dengan pembelaan kepada veteran kita. Semasa saya memimpin MINDEf, agenda veteran merupakan sesuatu yang cukup dekat di hati saya dan kita bukukan apa yang kita hendak lakukan dari segi kesihatan, pendidikan anak-anak cucu mereka, perumahan dan kalau sekiranya mereka ketepikan apa yang saya rancang dahulu mesti diganti dengan perancangan dan dasar-dasar yang boleh memberikan harapan kepada veteran kita,” tambahnya.
Selain bersama warga veteran ATM, Hishammuddin turut meluangkan masa beramah mesra bersama pengundi dan penduduk setempat lain di beberapa peti undi termasuklah di Kampung Sungai Padi, Kampung Beletik, Lubuk Kulit di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dan Tanah Rata. – MediaUMNO