Rencana Masa Depan Lebih Baik Untuk Negara – Tuanku Muhriz

SEREMBAN 14 Jan. – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini mengajak segenap lapisan rakyat bersyukur kerana mempunyai peluang untuk memperbaiki dan memperbetulkan semua kelemahan dalam pentadbiran negara.

Baginda bertitah, semua kelemahan yang telah berlaku perlu dijadikan sebagai satu pengajaran dan memastikan ia tidak akan berulang pada masa depan.

“Jangan lagi kita tunduk membiarkan hasil negara digunakan untuk kepentingan peribadi individu tertentu. Jangan lagi kita membenarkan institusi-institusi pentadbiran negara terhalang daripada menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya.

“Jangan lagi kita hilang upaya dalam mengawal segala manipulasi yang berlaku,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan baginda ke-71 di Balai Rong Seri, Istana Besar Seri Menanti, dekat sini hari ini.

Yang turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz serta kerabat diraja.

Baginda turut diiringi oleh Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin; Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Razali Ab. Malik, anggota Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Seramai 340 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena hari keputeraan baginda tahun ini.

Tuanku Muhriz menyeru semua pihak sama ada pemimpin ataupun rakyat agar tidak melepaskan peluang yang ada ketika ini untuk merencana masa depan negara agar menjadi lebih baik.

“Kepimpinan kerajaan negeri hendaklah beramanah tinggi, bermaruah tinggi dan berpendirian tinggi – dalam Bahasa Inggeris ‘persons of honour’ – untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.