Rasuah? SPRM, BERSIH Perlu Siasat PH – Calon BN


TANAH RATA, 13 Dis – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Ramli Mohd Nor menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan BERSIH menyiasat ekoran tersebarnya gambar yang memaparkan seolah-olah jentera kempen Pakatan Harapan (PH) Cameron Highlands sedang mengagihkan wang.

Tegas beliau, sebelum ini PH sering melaung-laungkan telus malah PRK ini diadakan juga kerana alasan rasuah maka seharusnya perkara ini disiasat segera.

“Kalau SPRM rasa perlu siasat… siasat, BERSIH pun siasat.

“Mereka yang laung-laungkan tapi mereka yang praktikkan (rasuah),” ujar beliau kepada media selepas program beramah mesra bersama penduduk setempat di Kampung Taman Sedia.

Untuk rekod, kemenangan C. Sivarraajh di kerusi Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) sebelum ini dibatalkan selepas Mahkamah Pilihan Raya mendapati berlaku pembelian undi dan seterusnya mengarahkan kerusi itu dikosongkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan Sivarraajh hilang kelayakan bertanding dan mengundi selama lima tahun.

Pada 12 Januari yang lalu, tiga daripada empat calon PRK Cameron Highlands telah menandatangani Ikrar Sokong Pilihan Raya Bersih dan Adil yang disediakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0).

Mereka adalah calon PH M Manogaran dan dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki Salehuddin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee.

Pengerusi BERSIH 2.0 Thomas Fann berkata ikrar itu memperlihatkan komitmen calon-calon yang mahukan sistem pilihan raya telus. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit