Naik Tarif Air Belakangkan Janji Kurang Beban Rakyat – UMNO P. Pinang

PULAU PINANG 10 Jan. – UMNO negeri ini mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak meneruskan cadangan menaikkan tarif air sehingga 20 peratus lebih tinggi yang disifatkan membebankan rakyat.

Sambil melahirkan rasa kecewa dan terkejut dengan perkara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, cadangan tersebut jelas membelakangkan janji-janji Pakatan Harapan (PH) untuk membela nasib rakyat.

Tambah beliau, lebih membimbangkan penduduk apabila kenaikan itu dicadangkan ketika mereka terus tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi serta kenaikan harga pelbagai barangan.

“Kedudukan kewangan kerajaan negeri serta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang dilaporkan baik dan mencatatkan keuntungan setiap tahun juga tidak mewajarkan cadangan kenaikan itu apatah lagi sehingga mencecah 20 peratus.

“Sepatutnya dalam keadaan sekarang, kerajaan negeri mencadangkan lebih banyak manfaat pengurangan kos sara hidup kerana itulah yang dijanjikan PH sebelum PRU-14, bukannya mengenakan pelbagai kos tambahan kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow membayangkan kadar tarif air di negeri ini mungkin naik sehingga 20 peratus atau lebih selari dengan penstrukturan industri air yang diumumkan Kerajaan Pusat.

Menurut Musa, apa yang dikesalkan juga adalah kenaikan tarif itu dicadangkan selepas kerajaan negeri beberapa kali menaikkan kadar tersebut serta surcaj pemuliharaan air (SPA) sepanjang 10 tahun mentadbir negeri ini.

Kenaikkan itu, katanya, tidak pernah berlaku sepanjang 18 tahun negeri ini di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun ketika itu masih menawarkan antara caj terendah di seluruh negara sekali gus membuktikan tidak ada asas kepada cadangan kenaikan berkenaan.

“Kita menggesa Kerajaan Pulau Pinang mencari alternatif lain untuk mendapatkan hasil negeri, bukannya dengan memaksa pelbagai kenaikan caj kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit