Lantikan Politik Dalam GLC: ‘Malaysia Baharu’ PH… Berterusan Mungkir Janji

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dengan sinis mengatakan ‘Malaysia Baharu’ yang dijaja oleh Pakatan Harapan (PH) seolah-olah sudah sinonim dengan tindakan memungkiri janji.

Status di Facebooknya itu membidas PH sejak menjadi kerajaan pada 10 Mei tahun lalu, mereka berterusan tidak mengotakan janji apa yang terkandung di dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Tidak akan ada lantikan politik oleh Pakatan Harapan dalam syarikat kerajaan (GLC).

“Malaysia Baharu… ‘Breaking promises since 10 May, 2018’,” ujarnya.


Khairy memuatnaik status berkenaan sambil merujuk keratan berita sebuah portal yang mengatakan aktivis undang-undang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mohamed Haniff Khatri Abdulla dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti tersebut, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi pula mengetuai Mara Corporation Sdn Bhd, sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun semalam.

Turut dilantik, juga dari Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Datuk Dr. Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi UNITEK-Mara.

Sebagai rekod, di dalam manifesto PH, dalam Janji 22 ada menyebut, ‘Menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan (GLC) setaraf dengan piawaian antarabangsa’ dan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan professional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

Begitu juga Janji 21, ‘Memperkasa perkhidmatan awam’, kerajaan PH akan meletakkan sektor perkhidmatan awam kembali ke tempat yang sewajarnya dengan memastikan para pegawai kerajaan tidak terlibat atau terpengaruh dengan sentimen politik kepartian dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Sebelum ini, PH turut melantik ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang juga Timbalan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar PPBM, Wan Saiful Wan Jan sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta peguam yang sering mewakili Dap dan PKR, Sankara N. Nair sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Manakala Azhar Harun yang juga aktivis PPBM dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat tanpa melalui perakuan Parlimen.

Mengikut Janji 17, ‘Menjamin ketelusan dan kemodenan sistem pilihan raya’ di mana pelantikan Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia mestilah melalui proses perakuan oleh Parlimen.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengatakan manifesto bukan kitab suci yang perlu dipatuhi. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.