Pampasan Tol: Dulu Marah, Sekarang ‘Copy-Paste’ – Najib


KUALA LUMPUR, 28 Dis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama dari pimpinan parti Dap yang dahulunya begitu lantang apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) membayar pampasan kepada pengendali konsesi sekiranya tol tidak dinaikkan, tetapi kini melakukan perkara yang sama atau bahasa mudahnya, ‘copy-paste’.

Menerusi entri terbaharu di Facebooknya, Najib berkata Dap sering marah kerajaan BN atas alasan memperkayakan syarikat kroni.

“Dan setiap tahun kerajaan BN membayar pampasan, Dap marah saya dan tuduh saya hanya mahu memperkayakan syarikat kroni tol yang kaya.

“Saya dimarahi dan diserang setiap tahun oleh Dap apabila membayar pampasan. Saya juga dimarah pada akhir tahun 2015 kerana membenarkan kadar tol dinaikkan untuk tahun 2016.

“Saya dimarah lagi oleh Dap tahun lepas kerana membayar pampasan RM2.2 bilion untuk menghapuskan sepenuhnya empat tol di Johor, Selangor dan Kedah. Tahun-tahun, Dap marah,” sinisnya.

Tetapi sekarang ujar Najib, PH sangat bangga dengan keputusan mereka untuk membayar pampasan RM1 bilion supaya kadar tol lebuhraya tidak naik tahun depan.

“Dan menariknya, Menteri Kewangan adalah dari Dap, parti yang menjadikan acara tahunan untuk marah pada saya,” katanya lagi.

Untuk rekod, bekas Menteri Kewangan itu turut menampilkan beberapa fakta mengenai langkah kerajaan PH untuk tidak menaikkan tol lebuhraya tahun depan dengan membayar pampasan RM1 bilion.

“Kebanyakan konsesi-konsesi tol di negara hari ini – terutama yang dituduh sebagai berat sebelah, diberi pada masa PM ke-4 dan bukan ketika pentadbiran saya.

“Tol untuk lebuhraya-lebuhraya milik PLUS seperti lebuhraya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang, NKVE dan sebagainya tidak pernah naik sepanjang tempoh 10 tahun saya menjawat sebagai Menteri Kewangan.

“Malah kerajaan BN pada masa saya membeli balik dengan sepenuhnya syarikat PLUS pada tahun 2011 dari kini PLUS dimilik 51% Khazanah Nasional dan 49% oleh KWSP. Ya, KWSP, sekali lagi ia menguntungkan pencarum,” jelasnya.

Tambahnya lagi, apabila kewangan negara mengizinkan, beliau telah berusaha untuk menghapuskan tol sedikit demi sedikit dan berjaya untuk menghapuskan beberapa tol secara berperingkat.

“Ini juga berlaku di Sarawak di mana hari ini Sarawak dan Sabah tidak ada sebarang tol lebuhraya lagi. Ini dapat dilakukan kerana ia dibina ketika pentadbiran saya dan tak perlu kita terikat kepada konsesi.

“Selama tempoh 10 tahun ini kadar tol lebuhraya-lebuhraya bukan milik PLUS hanya pernah naik untuk satu tahun sahaja iaitu pada tahun 2016 kerana ketika itu hasil negara terjejas akibat kejatuhan harga minyak dunia ke tahap di bawah US$30 satu tong.

“Setiap tahun bagi tol tidak dinaikkan sepanjang 9 tahun itu, kita perlu membayar pampasan,” tegasnya.

Justeru, apa yang berlaku hari ini rakyat telah melihat kerajaan PH banyak membuat pusingan U dan ‘copy-paste’ dasar Kerajaan BN yang mereka selalu kritik dan marah sebelum ini.

“Oleh itu, saya juga ‘copy-paste’ kenyataan dahulu Menteri Kewangan kita yang marah saya membayar pampasan RM400 juta pada tahun 2014 untuk tidak menaikkan tol. https://tinyurl.com/ydbr6s75.

“Saya ‘copy-paste’ dari dia dan membuat sedikit ubahsuai sahaja untuk membalas pengumumannya,” katanya.

Najib juga secara sinis mengatakan tidak sah jika PH tidak membuat ‘U-Turn’.

“Tetapi jangan tajam sangat. Nanti jadi V-Turn pula,” sindirnya lagi. – Media UMNO.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit