Kembalikan Kuasa Kepada Perhubungan Negeri Bantu Bahagian Tadbir Dengan Baik

JOHOR BAHRU, 23 Dis – Mengembalikan kuasa kepada Badan Perhubungan UMNO negeri dilihat mampu membantu setiap bahagian mentadbir dan mencapai keputusan dengan baik di peringkat negeri masing-masing.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya keputusan itu juga membolehkan tanggungjawab di semua peringkat dapat dijayakan dengan baik sekaligus mencapai kata sepakat dan saksama antara kepimpinan dan anggota.

“Misalnya dalam soal pendaftaran, permohonan keanggotaan dan disiplin parti,  kalau diturunkan ke hubungan dan bahagian saya percaya perkara-perkara itu dapat diatasi dan ditangani dengan baik.

“Sebagai sebuah parti politik, kita bukan seperti kerajaan ataupun syarikat yang tiap-tiap hari bekerja, jadi atas sebab itu bila kita ada pembahagian tugas dan tanggungjawab, ia boleh bawa kebaikan kepada UMNO kerana anggota kita ramai dan cawangan banyak,” katanya kepadanya pemberita selepas merasmikan program “I’m Ready For School” anjuran Johor Volunteer, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memberi kuasa kepada negeri bagi menyusun strategi bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15.

Mengulas mengenai persepsi sesetengah pihak yang mengatakan kepimpinan tertinggi UMNO  masih dibayangi kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,  Mohamed Khaled berkata masih terlalu awal untuk menilai kredibiliti Timbalan Presiden UMNO itu.

“Biarlah Tok Mat (Mohamad Hasan) jalankan tugasnya dengan sokongan kami, saya percaya tindakan Presiden (mengumumkan keputusan menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya)  adalah ikhlas untuk kepentingan parti, orang Melayu dan Islam.

“Persepsi ini dibangkitkan oleh musuh UMNO dan pihak yg tidak mahu UMNO pulih kembali,” katanya.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.