Puteri UMNO Kedah Tetap Utuh Dan Setia Pertahankan Parti


ALOR SETAR, 20 Dis – Puteri UMNO Negeri Kedah akan tetap setia dan bekerja kuat bersama-sama dengan pucuk pimpinan tanpa berbelah-bahagi dalam apa jua keadaan sekalipun demi keutuhan parti, ujar Ketuanya, Maizatul Miza Mohd Disa.

Maizatul juga berharap agar kepimpinan tertinggi parti terus istiqamah dalam memartabatkan kembali maruah parti.

“Semoga kepimpinan tertinggi UMNO terus istiqamah dalam perjuangan untuk memartabatkan kembali maruah parti yang kian tercemar dek kerana pemimpin-pemimpin yang telah hilang arah dan kepercayaan kepada parti dokongan mereka sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Maizatul yang juga Exco Puteri UMNO Malaysia berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Langkawi, Nur Aini Ahmad Ridzuan yang kelihatan bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid keluar parti bersama tujuh ketua Cawangan pagi tadi.

Berhubungan dengan tindakan Nur Aini itu juga, Maizatul tidak akan memberikan sebarang komen yang akan menimbulkan bibit perpecahan dalaman Puteri UMNO negeri kerana menghormati keputusan yang diambil oleh Nur Aini.

“Rentetan dari perkara berikut, saya juga berharap tiada lagi sebarang spekulasi tambahan selepas ini yang menyatakan bahawa Ketua Puteri UMNO Bahagian Langkawi, Saudari Ummi Kalsom Abdul Mutalib juga akan keluar dari UMNO seperti yang telah disebarkan sebelum ini.

“Kepada Nur Aini Ahmad Ridzuan, terima kasih di atas segala budi dan jasa yang telah dicurahkan kepada Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah sebagai Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Langkawi selama ini… Didoakan agar Aini terus sukses di masa akan datang dan terus berjuang demi agama, bangsa dan negara,” ujar Ketua Puteri UMNO Bahagian Alor Setar itu lagi.

Maizatul turut mengharapkan agar mereka yang keluar parti berjuanglah kerana Allah SWT dan jangan sesekali memburuk-burukkan UMNO yang dahulunya pernah diperjuangkan bersama. – Media UMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit