Semoga Agenda Islah Parti Terus Subur – Khaled


JOHOR BAHRU, 19 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru semua penyokong dan ahli parti, samada di peringkat Cawangan, Bahagian mahupun Negeri untuk bersama mendukung dan membantu Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam menjalankan amanahnya.

Menurutnya, ini adalah permulaan kepada usaha mereformasi parti.

“Setelah lebih enam bulan menempuhi kekalahan dan pelbagai rintangan, diharapkan agenda Islah parti akan terus subur di bawah kepimpinan baharu ini.

“Saya juga menyeru kepada orang Melayu umumnya, untuk bersatu dan terus memberi bantuan, pandangan dan kritikan membina bagi kelangsungan parti serta agenda memajukan bangsa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan sambil mengucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya.

Tambah Khaled, sesungguhnya UMNO akan sentiasa berterima kasih atas tindakan Ahmad Zahid yang berjiwa besar itu.

“Segala jasa baik dan amal budi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dikenang jua. Terima kasih yang mendalam juga atas khidmat bakti yang dicurahkan dan pengorbanan tanpa lelah serta ikhlas kepada UMNO. Semoga segala yang demikian diperkirakan sebagai amal soleh hendaknya

“Semoga Allah SWT memberikan kesabaran, kekuatan dan ketenangan kepada Datuk Ahmad Zahid Hamidi untuk menghadapi cabaran peribadinya. Begitu juga kita mendoakan Allah SWT memberikan Taufiq dan Hidayah-Nya ke atas Datuk Seri Mohamad bin Hasan,” ujarnya. – Media UMNO.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.