“Itu Gambar Lama, Saya Tak Akan Lompat Parti” – Tok Mat Hasan


KUALA LUMPUR, 13 Dis – “Itu gambar lama, selepas Tun Mahathir balik dari US (Amerika Syarikat),” jelas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad memberi reaksi demikian ketika mengulas mengenai foto lama beliau bersama beberapa pemimpin parti mengunjungi Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad selepas PM kembali dari Amerika Syarikat yang kini kembali tular.

Pada 25 September hingga 1 Oktober lalu, PM membuat lawatan kerja ke New York, Amerika Syarikat termasuk berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan peringkat kedua lawatan kerjanya ke London, United Kingdom.

Menurut Mohamad, pertemuan beliau bersama Tun Mahathir yang turut ditemani Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Shahidan Kassim itu bagi membincangkan politik semasa.

“Itu gambar lama, selepas Tun Mahathir balik dari US (Amerika Syarikat). Kunjungan hormat saya bersama-sama ahli MT (Majlis Tertinggi) UMNO untuk berbincang politik semasa.

“Termasuklah minta penjelasan dari Tun Mahathir mengenai kenyataannya di New York, yang berkata UMNO akan berkubur.

“Saya meminta Tun Mahathir supaya jangan bubarkan UMNO,” jelas Mohamad dalam satu kenyataan ringkas, sambil menambah beliau tidak akan lompat parti.

Gambar tersebut ditular oleh beberapa pihak kononnya barisan pemimpin UMNO berjumpa Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk keluar parti, rentetan situasi politik UMNO Negeri Sabah. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79