Pasca Himpunan #Daulat812 : Manifestasi Rakyat Semakin Muak Dengan PH – Dr Puad


BATU PAHAT, 10 Dis – Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi melihat himpunan aman pada Sabtu lalu di Dataran Merdeka adalah satu manifestasi rakyat yang semakin tidak berpuas hati terhadap corak pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, ia rentetan atas sikap ‘kemunafikan’ kerajaan sendiri yang bukan sahaja tidak mampu mengotakan janji-janji pilihan raya malah tindakan yang sering membuat pusingan ‘U’ (U-Turn) dalam membuat satu-satu keputusan.

“Jadi isu ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) hanyalah pencetus semata mata. Perhimpunan semalam (Sabtu) sebenarnya menyelongkar banyak perkara yang rakyat tidak berpuas hati.

“Walaupun kerajaan menyatakan tidak akan meratifikasikan ICERD. Tetapi perhimpunan itu tetap diteruskan dan mendapat sambutan luar biasa.

“Dengan kata lain di masa akan datang rakyat tidak akan bulat-bulat lagi percaya kepada ‘janji politik dan manifesto’. Mereka serik dengan ‘kemunafikan’ pemerintah,” tegas Puad dalam catatan di Facebooknya, baru-baru ini.

Himpunan aman #Daulat812 tersebut dihadiri kira-kira lebih setengah juta rakyat melangkaui ras dan fahaman politik bagi menunjukkan solidariti kepada agama, bangsa dan tanah air.

Tambah Puad lagi, lautan putih yang menutupi setiap ruang jalan di sekeliling Dataran Merdeka sebenarnya sudah memadai untuk menyimpulkan rakyat tidak berpuas hati dengan pemerintahan tujuh bulan PH.

“Itu bermakna rakyat muak dan bosan dengan slogan. Cita rasa rakyat cepat berubah. Kerajaan hari ini masih berbulan madu dan ‘complacent’ dengan kemenangan. Tun M (Mahathir Mohamad) dan ‘team’nya pasti terkejut kerana baru tujuh bulan, rakyat telah kembali ke jalan raya.

“Selepas mendapat mandat dari rakyat, kerajaan PH berterusan menggunakan pendekatan lama untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah lebih baik daripada kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Jelasnya, dalam tempoh tujuh bulan PH telah menggunakan pendekatan lama seperti menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menutup kelemahan sendiri, mengulang-ulangi dakwaan sampai rakyat percaya, budaya mencari alasan untuk mengalihkan isu, membuat pendedahan separuh masak terhadap kesalahan kerajaan lalu dan membuat ‘U-Turn’ terhadap beberapa keputusan yang telah dibuat.

“Ternyata rakyat menolak pendekatan tersebut. Sebab itu rakyat keluar ke jalan raya dan memberikan isyarat jelas bahawa kerajaan pada hari ini tidak ‘performs’,” katanya.

Begitu juga Puad melihat apa yang signifikan ialah dominasi kehadiran hampir 70 puluh peratus anak muda sememangnya suatu yang luar biasa.

“Ia juga menjadi isyarat keras kepada kerajaan PH, bahawa jika mereka masih mahu mengeksploitasi inteligen anak muda, ia adalah silap,” tegasnya lagi.

Berhubung dengan sambutan yang amat menggalakkan dari jumlah kehadiran, Puad melihat tindakan media arus perdana bermain angka untuk merendah-rendahkan himpunan tersebut telah gagal kerana kuasa media sosial lebih berpengaruh dari media konvensional.

“Ternyata peranan media sosial kekal penting dalam budaya politik demokrasi di Malaysia. Gambar dan video digunakan dalam peperangan persepsi mengenai jumlah kehadiran di perhimpunan semalam.

“Bahkan arahan mengenai adab, tingkah laku dan pergerakan perhimpunan tersebar luas melalui media sosial. Itu satu faktor perhimpunan semalam berjalan lancar, tiada rusuhan dan terkawal,” katanya.

Di dalam mengulas mengenai kerjasama UMNO dan Pas terutama selepas kejayaan himpunan aman tersebut, Puad berpendapat keserasian antara kedua-duanya semakin terbina.

“Bagi UMNO – Pas mungkin mereka lega kerana keserasian politik antara keduanya semakin terbina. Tetapi UMNO – Pas tidak boleh terperangkap dengan keyakinan palsu.

“Kini terletak di bahu mereka untuk bergabung sebagai blok Pembangkang yang kuat, berkredibiliti dan efektif. Jika ini berjaya UMNO – Pas akan menjadi penyumbang kepada proses penyuburan demokrasi di Malaysia. Blok ini juga mesti disertai oleh NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan pertubuhan bukan Melayu.

“Dengan kata lain UMNO – Pas sebagai parti akar umbi wajar memimpin kebangkitan rakyat sebelum menjelang PRU Ke-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15),” tegasnya. – Media UMNO.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.