Isu Tabung Haji : Kerajaan Dicadang Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja – Mohamad


KUALA LUMPUR, 10 Dis – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan berhubung isu Tabung Haji dalam usaha mencari kebenaran sebenar selain membolehkan semua pihak mengetahui dengan lebih jelas dan terperinci tentang perkara berkenaan.

Menurut beliau laporan oleh firma perakaunan dan audit PricewaterhouseCoopers (PwC) berkaitan kedudukan dan amalan kewangan Tabung Haji yang telah dibentangkan oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa di Parlimen pagi tadi telah mengundang kerisauan yang sangat mendalam dan mesti dipandang serius oleh semua pihak.

Tegasnya satu siasatan secara mendalam, terperinci dan benar mesti dilakukan dengan segera dan tegas atas beberapa sebab.

“Pertama, kita mesti melihat isu ini dalam konteks yang besar. Ia bukan sahaja berkaitan dengan soal pemberian/bayaran hibah yang tidak mengikut prosedur dan peruntukan organisasi tersebut (TH). Tetapi, yang lebih mendasar ialah ia menggambarkan kewujudan krisis tadbir urus korporat dan pengurusan yang tidak mengikut amalan terbaik.

“Kedua, UMNO sangat serius dalam apa jua usaha memelihara kewibawaan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam. Sebarang usaha untuk memperkuat institusi ini dan menghapuskan ketirisan, pecah amanah serta salah tadbir urusnya mesti disokong oleh semua pihak.

“Ketiga, Tabung Haji adalah institusi milik orang Melayu dan orang Islam. Orang Melayu, orang Islam dan masyarakat awam secara umum berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi terpenting ini. Dan kebenaran hanya akan terbit dari siasatan yang telus, tidak berpihak dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Keempat katanya lagi, cara terbaik membela kepentingan Melayu dan Islam adalah dengan memastikan institusi milik kerajaan itu diuruskan dengan sebaiknya.

Justeru tambah beliau, Tabung Haji jangan sama sekali dibiarkan susut nilai dan kepentingannya atau dipergunakan tanpa pertanggungjawaban dan rasa bersalah oleh pihak bertanggungjawab dalam apa cara sekali pun.

“Dan kelima, Tabung Haji mempunyai nama besar dan reputasi yang baik bukan sahaja di dalam negara kita. Malah di persada global.

“Tabung Haji adalah kuasa lunak Malaysia di kalangan negara Islam. Mandat, fungsi serta aspirasi organisasi ini yang sangat murni dan kritikal dalam kehidupan beragama orang Islam. Maka wibawanya harus dipertahankan dengan apa cara sekalipun,” ujarnya.

Katanya lagi dengan adanya RCI berkenaan ia sudah pastinya akan membuka ruang untuk semua pihak sama-sama mengemukakan jalan ke hadapan yang baik dan perlu bagi mengukuhkan kembali institusi penting ini.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.