5,000 Pemuda UMNO Dan Jabatan Amal Pas Bergandingan Jaga Keharmonian Himpunan Sabtu Ini


KUALA LUMPUR, 6 Dis – Bagi memastikan kelancaran dan keamanan sepanjang program Himpunan Ummah di Dataran Merdeka, 8 Disember ini, kira-kira 5,000 Pemuda UMNO serta Jabatan Amal Pas akan bergandingan dan bekerjasama dengan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru agar seluruh rakyat Malaysia dapat berhimpun dengan aman dan tidak mencetuskan sebarang unsur-unsur perkauman mahupun menyentuh sensitiviti mana-mana agama.


“Pemuda UMNO akan memastikan sebarang bentuk provokasi samaada melalui perbuatan, poster, placard, laungan dan sorakan yang menyentuh isu-isu perkauman dan agama yang dilakukan oleh mana-mana individu akan segera diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini

Katanya, Pemuda UMNO juga mengharapkan kerjasama semua pihak agar mengambil gambar individu-individu yang tidak bertanggungjawab dan diserahkan kepada pihak keselamatan di samping sentiasa menjaga disiplin termasuk kebersihan dengan membawa beg-beg plastik hitam untuk membersihkan segala sampah sarap yang didapati sepanjang berarak dan berhimpun di Dataran Merdeka nanti.

“Pemuda UMNO sekali lagi ingin tegaskan Himpunan Ummah esok adalah solidariti rakyat yang bukan sahaja menolak ICERD tetapi membantah apa jua bentuk usaha untuk meruntuhkan keharmonian pelbagai agama dan kaum kerana kita adalah rakyat Malaysia yang cintakan keamanan yang telah dibina berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan mengikut acuan kita sendiri.”

Justeru Pemuda UMNO menyeru seluruh rakyat Malaysia bersolidariti dengan berpakaian putih selama sehari dan mengibarkan bendera Malaysia sebagai tanda kecintaan kepada keamanan dan keharmonian pelbagai agama dan kaum. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit