Saya Tidak Bohong, Ada Bukti – Saarani

IPOH 5 Dis. – Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad mendakwa mempunyai bukti termasuk akuan bersumpah lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang ditemui exco kerajaan negeri yang cuba menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta gambar pertemuan tersebut.

Saarani berkata, kesemua bukti berkenaan akan diserahkan kepada pihak polis sekiranya beliau dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Akuan bersumpah ini adalah bukti sahih dan dibuat berasaskan apa yang dilaporkan oleh lima ADUN kepada saya. Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Negara, kertas siasatan telah dibuka dan ini bermakna saya akan dipanggil pada bila-bila masa.

“Saya bukan menipu dan mereka-reka cerita. Saya ada akuan bersumpah daripada kesemua ADUN UMNO yang telah ditemui secara peribadi oleh ADUN Tebing Tinggi (Dr. Abdul Aziz Bari). Dia sendiri pergi jumpa dan gambar pun ada,” katanya dalam sidang akhbar di luar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurut Saarani, penafian yang dibuat Abdul Aziz susulan pendedahan beliau dalam sidang DUN semalam telah menunjukkan sifat hipokrit, menipu diri sendiri dan berbohong yang dilakukan oleh pemimpin berkenaan.

Ujar beliau, Abdul Aziz dinasihatkan untuk hidup di ‘alam nyata’ jika tidak mahu terus menjadi bahan sendaan berikutan sikap tersebut.

“Dia perasan dia kuat sebab dapat undian tinggi pada pemilihan DAP. Bagaimanapun satu benda yang dia perlu belajar dan fikir, bukan dia seorang sahaja yang berminat dengan jawatan Menteri Besar, dia silap. Di antara mereka yang lain akan persoalkan.

“Saya bukan pembohong dan tiada niat untuk jatuhkan air muka dia. Saya mahu menjaga keamanan dan keselamatan negeri Perak. Saya tidak mahu cara mendapatkan kerajaan secara tidak demokratik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit