Jawapan Dr Marzlee Jadi Bualan Netizen Bukti Rakyat Nilai Tindak-Tanduk Kerajaan PH – Shahar


KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah berpandangan rakyat sudah matang dalam melihat perkara yang berlaku di sekeliling mereka hari ini terutama sebarang langkah atau apa jua yang dilontarkan oleh mana-mana pihak khususnya pemimpin kerajaan.

Menurut beliau jawapan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Parlimen mengenai sukatan pelajaran sejarah yang telah menimbulkan kontroversi menunjukkan bagaimana rakyat begitu terkedepan.

“Saya melihat selepas 24 jam kenyataan atau jawapan dibuat di Parlimen mendapati ianya menjadi suatu perbualan oleh masyarakat luar khususnya netizen di media sosial.

“Nampaknya rakyat amat begitu terkedepan dan mereka menolak pendidikan dipolitikkan apatah lagi apabila cara menteri menjawab soalan itu seolah-olahnya sejarah ini dilakukan oleh mereka yang menang. Maknanya sesiapa yang menang akan buat balik penulisan sejarah dan ini saya rasa adalah suatu naratif yang amat mendukacitakan saya,” katanya kepada UMNO-Online, di lobi Parlimen.

Jelasnya, ia tidak boleh diambil kira dari segi siapa yang menang kerana yang penting ialah memikirkan tentang masa depan negara.

“Jangan hanya difikirkan siapa yang menang, kalau mereka kalah pula esoknya dan di ganti parti lain pula macam mana… apakah naratif dan sejarah akan diubah. Sebab itu saya beritahu kita jangan guna pendidikan, agama, isu-isu kebajikan, isu-isu perumahan untuk dipolitikkan. Cukuplah kita berpolitik lima tahun sekali dan nampaknya rakyat mempunyai pandangan yang sama,” ujarnya.

Isnin lalu, Dr Maszlee dilaporkan berkata isu berkaitan skandal 1MDB dan penyelewengan membabitkan ahli politik akan dimasukkan sebagai sukatan pelajaran Sejarah di sekolah, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Ahmad ingin mengetahui fakta sejarah yang menjadi kontroversi dalam negara dan garis masa ditetapkan bagi membolehkannya dijadikan sebahagian daripada pengisian mata pelajaran.

Namun begitu, semalam, Setiausaha Akhbarnya, Shahrul Aman Mohd. Saari berkata, Dr Maszlee tidak sama sekali menyebut kes 1MDB akan dimasukkan dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah, sebaliknya Maszlee hanya menyebut bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam Sejarah Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shahar yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO turut memberitahu Himpunan Aman yang akan diadakan Sabtu ini terbuka kepada semua untuk menyertainya malah memberi peluang yang cukup luas dalam usaha menyatakan pandangan berkaitan ratifikasi antarabangsa.

“Saya melihat kerajaan dan pembangkang mempunyai pandangan yang sama dan maknanya semua pihak harus terbuka untuk memberi sesuatu pendapat.

“Kalau rakyat sudah dimaklumkan tentang permitnya, ini tentunya perhimpunan aman dan tidak ada sebab anak-anak muda yang terkesan dengan apa yang berlaku harus tidak mengambil bahagian.

“Kita bukannya nak bercakap tentang perkauman…kita nak bercakap tentang perhimpunan aman dan ianya terbuka kepada anak-anak muda bukan sahaja Islam dan Melayu tetapi seluruh rakyat,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.