Laporan Polis TH Dakwa Berkaitan Politik Berniat Jahat, Sengaja Mahu Mengaibkan – Azeez


KUALA LUMPUR, 3 Dis – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan bahawa laporan polis yang dibuat oleh pihak Pengurusan Tagung Haji (TH) ke atas dirinya selaku bekas Pengerusi TH adalah berniat jahat.

Katanya, ada pihak yang begitu terdesak untuk mengaibkan beliau dengan mempengaruhi pengurusan baru TH membuat laporan polis terhadap dua perkara yang pernah dijawab semenjak 2017 lagi.

“Kenapa baru buat laporan polis… maka ia adalah kerana berniat jahat sama ada untuk mengaibkan saya dan juga TH.

“TH tak pernah memanggil saya untuk membela diri sedangkan semua rekod-rekod ada dengan sumbangan telah dimasukkan kepada Yayasan Tabung Haji (YTH), bukan TH keluarkan dari akaun-akaun pendeposit malah ada audit dilakukan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Jumaat lalu, TH telah membuat dua laporan polis berkenaan penyelewengan dana berjumlah RM22 juta yang didakwa digunakan berkaitan politik selain penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion.

“Ingin saya tegaskan di sini, sepanjang mempengerusikan YTH, tidak pernah YTH menggunakan dana pendeposit untuk menjalankan aktiviti-aktiviti berorientasikan kebajikan sebagaimana yang dimandatkan melalui Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

“Sebanyak RM22 juta yang dikumpulkan oleh YTH pada 2017 adalah dana yang diperolehi daripada pelbagai sumber termasuklah sumbangan pihak korporat, peruntukan khas kerajaan dan juga orang perseorangan yang mahu menyumbang dalam pelbagai program kebajikan dan sosial.”

Katanya, program YTH yang dimaksudkan termasuklah program-program membantu golongan asnaf fakir dan miskin, orang kurang upaya (OKU) dan ibu-ibu tunggal miskin di seluruh negara melalui program ‘Ziarah Kasih’, ‘Jom Bantu Rakyat’, ‘Ziarah Kasih Ramadan’ selama setahun.

“Kalaupun ada pemimpin-pemimpin UMNO yang terlibat atau hadir dalam majlis-majlis tersebut, ia tidak sesekali membelakangi mahupun menyalahi objektif program kerana penyaluran wang hanya dilakukan oleh pegawai-pegawai TH. Bahkan pegawai-pegawai TH juga menilai secara langsung kriteria dan kelayakan setiap penerima sumbangan.

“Segala aktiviti yang dijalankan juga tidak pernah dirahsiakan malah dilaporkan secara meluas oleh pihak media selama program itu dijalankan.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa ia bukan wang penabung (pendeposit TH), ia adalah zakat hasil keuntungan pelaburan/perniagaan TH yang berjumlah RM7 juta sahaja. Bakinya adalah hasil sumbangan UMNO Malaysia, kerajaan Pusat dan syarikat-syarikat yang tidak pernah berniaga dengan TH untuk menjalankan aktiviti bulan Ramadan pada 2017.”

Tegasnya, pihak-pihak tersebut dengan sendirinya atas keprihatinan dan kemurahan hati telah menguhulurkan sumbangan itu kepada YTH untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik.

Berhubung laporan kedua pula yang pula dibuat atas Pengurusan Tertinggi TH lama berkaitan dengan penjualan 95 peratus pegangan dalam Syarikat PT TH Indo Plantations untuk RM3.8 bilion (AS$910 juta) pada tahun 2012 dimana mereka telah didakwa untuk menyembunyikan maklumat tentang penjualan tersebut.

“Untuk makluman, saya dilantik sebagai Pengerusi TH pada Julai 2013 dan sehingga hari ini tiada sebarang dakwaan penyelewengan ataupun kecurian yang berlaku berkaitan penjualan ini termasuklah dakwaan mengenai jualan yang dilakukan berasaskan harga di bawah nilai pasaran.”

Sebaliknya,katanya, laporan media pada ketika itu jelas melaporkan bahawa harga jualan jauh lebih tinggi daripada harga pasaran iaitu kira-kira US$16,000 (RM67,200) nilai enterprise satu hektar dan harga RM67,200 sehektar ini lebih tinggi berbanding harga jualan pada ketika itu dan jauh lebih tinggi berbanding harga RM16,000 ke RM20,000 pada nilaian hari ini.

“Saya ingin tegaskan bahawa segala transaksi ini tiada kaitan dengan UMNO bahkan pengurus-pengurus Kananan lama TH yang dinamakan dalam laporan polis tersebut juga bukan ahli UMNO atau mana-mana parti politik.

“Justeru, untuk mengaitkan dan melibatkan UMNO dalam isu ini adalah suatu tindakan yang berniat jahat dan secara jelasnya hanya mahu mengaibkan dan memburukkan UMNO dan kerajaan terdahulu.”

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Baling bersedia memberikan kerjasama bahkan amat mengalu-alukan agar pihak berkuasa dapat menyegerakan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat agar rakyat tidak terus berprasangka dan membuat hukuman hanya berpandukan persepsi yang dicipta di ruang-ruang media.

“Sebagaimana saranan Pergerakan Pemuda UMNO, saya bersedia memberikan kerjasama dan jangan menghukum mana-mana pihak sehinggalah ada siasatan yang telus dilakukan oleh pihak polis,” katanya lagi – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.