Dakwaan Kerajaan Dahulu Manjakan Penjawat Awam Hanya Alasan Tutup Kegagalan Kerajaan PH


KUALA LUMPUR, 3 Dis – Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penjawat awam dimanjakan kerajaan terdahulu dan kenaikkan gaji punca kos sara hidup meningkat adalah ibarat satu naratif dan alasan baharu oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akibat kegagalan mereka untuk mengawal harga barang.

Demikian bidas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ekoran baru-baru ini, Tun Dr Mahathir mendakwa pentadbiran dahulu terlalu manjakan penjawat awam sehingga perbelanjaan pengurusan negara meningkat berbanding era beliau sebelum ini.

“Saya berpandangan beberapa perkara mesti diambil kira dengan teliti dan mendalam sebelum membuat penilaian yang terlalu umum dan bersifat pukul rata seperti itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pertama, katanya, kita mesti melihat jumlah dan nisbah kakitangan awam berbanding penduduk dalam negara.

“Misalnya, pada tahun 2003, dengan populasi kira-kira 25 juta orang, penjawat awam kita adalah kira-kira 1 juta orang. Ini bermakna, nisbah penjawat awam kepada populasi penduduk adalah 1:25.

“Sedangkan kini pada tahun 2018, jumlah saiz populasi kita adalah seramai 32.4 juta orang dengan kekuatan penjawat awam seramai 1.62 juta orang. Ini menjadikan nisbah penjawat awam kepada populasi penduduk adalah 1:20.

“Lebih penting, kita mesti melihat siapakah golongan atau sektor yang membentuk peratusan terbesar dalam keseluruhan komposisi penjawat awam di negara kita. Mereka adalah dari sektor pendidikan seperti guru, anggota keselamatan seperti tentera, polis, pegawai kesihatan dan lain-lain.”

Jelasnya, berbanding dengan negara-negara di Eropah misalnya. Kakitangan awam mereka didefinisikan dengan sangat spesifik sehingga dipecahkan kepada perkhidmatan awam, sektor kesihatan dan hospital serta keselamatan.

“Jadi, jika digabungkan kesemuanya, seperti yang dilakukan oleh Malaysia, sudah pastilah jumlah mereka juga amat besar dengan anggaran nisbah kira-kira 1:10. Jumlah ini hampir dua kali ganda lebih ramai dari Malaysia.”

Katanya, begitu juga dengan nisbah perkhidmatan awam kepada populasi penduduk di negara-negara lain seperti Jerman ( 1:16), UK (1:11), AS (1:14), Australia (1:12) dan New Zealand (1:13).

“Jadi, ini bermakna, jumlah kakitangan awam Malaysia sebenarnya tidak besar. Sebaliknya, berpadanan dengan keperluan dan nisbah populasi penduduk negara. Sekali pun berlaku peningkatan jumlah kakitangan awam, ia tidak secara automatik bermaksud kita mempunyai lebihan kakitangan awam.

“Zaman sudah berubah, populasi kita bertambah, orientasi dan bentuk kerja hari ini juga sudah tidak sama seperti dahulu. Kita tidak booeh bandingkan semua perkara dengan zaman silam.

“Seolah-olah sejak 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini tidak ada apa-apa yang berlaku kepada negara kita.”

Perkara kedua, jelasnya, kita perlu bersetuju bahawa sumbangan kakitangan awam dalam pengurusan serta pembangunan negara kita adalah sangat besar dan penting.

“Tidak ada kerajaan biar dari mana-mana parti sekalipun yang dapat menafikan perkara ini.

“Jadi, saya bersetuju dengan pandangan yang melihat kenyataan YAB Perdana Menteri ini sebagai tidak wajar. Sebaliknya, beliau perlu mengambil pendekatan untuk mengukuhkan keupayaan dan kecekapan perkhidmatan awam.

“Misalnya, memberikan lebih banyak ruang untuk menerima latihan dan kursus khas yang berkualiti, meletakkan KPI dan sasaran yang jelas serta mengubah suai sistem yang ada dengan menjadikannya lebih bersifat teknologi terkini, mesra pengguna dan mudah. Malah, kerajaan mesti menawarkan insentif yang menarik untuk menggalakkan bakat-bakat terbaik bangsa kita menyertai perkhidmatan awam.”

Ketiga, katanya, YAB Perdana Menteri mendakwa kenaikan gaji dua kali setahun juga menyebabkan penjawat awam dimanjakan dan ia menyebabkan kos sara hidup meningkat dan menyebabkan perbelanjaan negara tinggi.

“Kalau kita semak semula, salah satu naratif Kerajaan semasa sewaktu kempen PRU adalah gaji kepada tenaga kerja Malaysia yang rendah dan tidak kompetitif.

“Sebab itulah, had gaji minimum sebanyak RM1500 adalah antara perkara utama yang mereka tawarkan sebelum ini, walaupun selepas menang hanya menetapkan gaji minimum sebanyak RM1050 dan kemudiannya disemak semula kepada RM1100.

“ Jadi, jika Kerajaan sebelum ini telah mengambil langkah proaktif dan adil dengan menaikkan gaji perkhidmatan awam, ini adalah satu langkah baik yang wajar disokong dan terus ditambah baik. Bukannya dipertikaikan tanpa asas yang jelas.”

Tegasnya, lebih penting, tanpa kenaikan gaji sekalipun, harga barang akan tetap naik.

“Hujah yang menuduh bahawa kenaikan gaji kaki tangan awam adalah faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barang adalah sangat tidak tepat dan tidak logik.” – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.