PTPTN: Pelaksanaan Polisi Baharu Yang Menekan Mahasiswa Amat Tidak Wajar


KUALA LUMPUR, 29 Nov – Hampir 100 mahasiswa daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta berkongsi pandangan bersama mantan Pengerusi Perbadanan Tabung Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Shamsul Anuar Nasarah terutama dalam perjuangan berterusan untuk kepentingan dan masa depan mereka, malam tadi.

Dalam program Dialog PTPTN Pasca PRU-14 bersama mantan Pengerusi PTPTN, wakil mahasiswa turut menyerahkan resolusi kepada Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong untuk mendapat perhatian sekaligus membawa suara dan pandangan mereka ke peringkat yang lebih jauh.

Shamsul Anuar ketika ditemui UMNO-Online sejurus berakhir program berkenaan berkata beliau akan meneliti segala tuntutan mahasiswa terutama apa yang terkandung di dalam resolusi yang diserahkan hari ini.

“Tahniah kepada mahasiswa kerana secara berterusan berjuang untuk kepentingan dan masa depan mereka terutama sekali bagi memastikan PTPTN benar-benar mampu untuk terus beroperasi dan memainkan peranan bagi pemerkasaan pendidikan negara.

“Saya menghormati perjuangan mereka dan sebab itu saya meneliti beberapa pandangan dan juga tuntutan mereka kepada kerajaan terutama sekali berkaitan janji yang kerajaan hari ini sebut dan berhak untuk mahaiswa sebut kenapa janji berkenaan tidak dapat ditunaikan.

“Jika tidak dapat ditunaikan secara peribadi saya merasakan berilah alasan-alasan munasabah dan jangan mereka-reka alasan dan mengemukakan alternatif baru yang lebih baik daripada itu,” katanya.

Katanya lagi pelaksanaan polisi baharu yang menekan lagi mahasiswa adalah tidak wajar sama sekali.

“Sebenarnya kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini memang ada alternatif tetapi apabila Kerajaan PH melaksanakan polisi baharu yang menekan lagi mahasiswa itu tidak wajar sama sekali.

“Saya harap mahasiswa secara berterusan menjadi penggerak dan pencetus kepada kepentingan rakyat dan saya lihat perjuangan mesti diteruskan kerana kita merasakan PTPTN mesti mampu untuk memberi perkhidmatan kepada pelajar dan bakal pelajar serta keseluruhannya,” katanya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit