Pelan Pendidikan Komprehensif Untuk Anak Tentera, Apa Jaminan Kerajaan PH..?
KUALA LUMPUR, 28 Nov – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa kerajaan harus memastikan masa hadapan anak tentera sentiasa terpelihara.
Ini kerana katanya, sebuah pelan pendidikan komprehensif telah dirangka dahulu untuk memastikan masa hadapan anak tentera sentiasa terpelihara, tetapi, tiada pengumuman atau jaminan dari Kementerian Pertahanan tentang kelangsungan pelan ini.
“Aspek ini amatlah penting agar anggota tentera dapat menumpukan tanggungjawab mempertahankan tanah air tanpa rasa bimbang persekolahan anak masing-masing,” katanya dalam lontaran di media sosial beliau.
Jelas Ahli Parlimen Sembrong itu lagi, pelan pendidikan komprehensif yang dibuat termasuk penaiktarafan 38 sekolah yang terdiri daripada anak tentera; penjenamaan semula sembilan Sekolah Kebangsaan (SK) ke Sekolah Cemerlang dan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) kepada Sekolah Berprestasi Tinggi.
“Ini harus diteruskan Kementerian Pertahanan Malaysia,” katanya. – MediaUMNO