Rayuan Keputusan Petisyen Dun Rantau, Tok Mat Masih Bincang
SEREMBAN, 27 Nov – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan masih berbincang dengan barisan peguamnya keperluan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan petisyen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, meskipun tarikh akhir rayuan semakin menghampiri penghujungnya iaitu Khamis ini.
Beliau yang merupakan responden pertama dalam petisyen yang difailkan calon PKR, Dr S. Streram berkata bagaimanapun kertas kerja berkaitan rayuan sudah disiapkan.
“Saya masih lagi berbincang dan mempertimbangkan sama ada nak rayu atau tidak… kertas kerja untuk rayuan semua sudah siap,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Pada 28 April lepas, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius di Pusat Perubatan Nilai memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.
Dalam petisyennya, selain Mohamad selaku responden pertama, Dr Streram turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.
Pada 16 November lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan bahawa kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau adalah tidak sah dan terbatal.
Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen Dr Streram dan peguam responden, yang berlangsung selama 12 hari melibatkan 19 saksi perbicaraan.
Sementara itu, wakil SPR berkata badan itu akan mengeluarkan notis kekosongan kerusi DUN Rantau dalam tempoh 30 hari setelah menerima sijil perakuan keputusan pilihan raya yang akan dikeluarkan mahkamah. – Bernama