Tindakan Beli SPLASH Dengan Harga 10 Ganda Lebih Tinggi Jejaskan Pemberian Air Percuma Di Selangor.


KUALA LUMPUR, 26  Nov – Bekas Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pada bulan Julai, beliau pernah memberi amaran bahawa langkah kerajaan pusat meminjam dan membenarkan kerajaan Selangor untuk membeli syarikat air swasta SPLASH dengan harga 10 ganda lebih tinggi dari harga tawaran asal akan menjejaskan pemberian air percuma di Selangor.

Jelas beliau antara pemegang saham terbesar di dalam SPLASH ialah ahli korporat yang rapat dengan PH.

“SPLASH kini telah dibeli dengan harga RM2.55 bilion berbanding harga RM250 juta yang ditawarkan oleh bekas MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Amaran saya menjadi realiti selepas MB Selangor yang baru mengumumkan pemansuhan air percuma untuk semua bermula tahun depan di DUN Selangor minggu lepas”, katanya dalam facebook milik beliau di sini, hari ini.

Pada 23 November lalu, Amirudin berkata program pemberian air percuma kepada rakyat Selangor akan hanya diberikan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang berdaftar dengan program e-Kasih mulai tahun depan.

Jelas Menteri Besar Selangor itu lagi pertambahan penduduk di Selangor menjadi faktor utama kenapa program pemberian air percuma kepada rakyat di negeri itu terpaksa dibuat penjajaran semula.

Najib seterusnya menambah tarif air baru SYABAS untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga akan diumumkan tidak lama lagi dan tidak mustahil jika ada kenaikkan.

“Kerajaan BN dahulu tidak meluluskan pembelian SPLASH dengan harga tinggi ini tetapi selepas PH menang kerajaan pusat, mereka luluskannya dengan serta-merta”, ujarnya . –MediaUMNO

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit