JAKIM Tidak Wajar Dijadikan Benteng Pertahankan ICERD – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Pemuda UMNO hari ini menggesa agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Muhahid Yusof Rawa agar berhenti menggunakan platform JAKIM untuk mempertahankan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang jelas boleh menghakis kedaulatan Islam.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya terkilan dengan sikap tersebut yang bersungguh-sungguh mempertahankan ICERD dan amat malang jika JAKIM yang selama ini diyakini kewibawaannya mempertahankan kesucian Islam mula dicurigai dan disangsi lantaran sikap Menteri yang lebih banyak dilihat menjadi benteng mempertahankan DAP dan Golongan Liberal dalam Pakatan Harapan.

“Lebih mendukacitakan apabila menggunakan platform JAKIM yang sepatutnya menjadi benteng terakhir mempertahankan kedaulatan Islam dan bukannya benteng mempertahankan ICERD.

“Sebelum YB terlajak dengan lebih jauh, saya sarankan YB Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Agama dan seharusnya mempertahankan Islam meneliti terlebih dahulu kandungan ICERD dan memperhalusi pelbagai cadangan-cadangan yang dikeluarkan oleh badan tertinggi dunia dibawah PBB berkenaan ICERD yang dikenali Jawatankuasa ICERD,” katanya menerusi catatan di facebook beliau di sini, hari ini.

Tegas Asyraf lagi, antara desakan Jawatankuasa ini termasuklah mengarahkan Arab Saudi menarik-balik pengecualian berkenaan prinsip Syariah, mempertikaikan amalan Indonesia meletakkan status agama dalam kad pengenalan, mempertikaikan status agama anak kepada ibubapa yang memeluk Islam di Iraq, layanan terhadap penganut Shiah di Bahrain, mempersoalkan undang-undang penghinaan agama di Pakistan dan banyak lagi isu-isu yang menyentuh agama dicetuskan oleh Jawatankuasa yang bertanggungjawab memastikan negara-negara yang meratifikasi ICERD benar-benar mematuhi setiap peruntukan dalam ICERD.

“Sudah terang lagi bersuluh bahawa menggesa Malaysia untuk meratifikasi ICERD adalah seperti menjerat negara kepada acuan antarabangsa yang hakikatnya mampu merobek kedaulatan negara, menghakis kedudukan Islam dan Bumiputera, bahkan tidak sesuai dengan realiti demografi kepelbagaian agama dan kaum yang hidup aman dan harmoni selama ini,” tambahnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.