Mahasiswa Serah Resolusi Bantah Bajet 2019
KUALA LUMPUR, 22 Nov – Ketua WHIP Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima resolusi bantahan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 daripada mahasiswa yang terdiri daripada mahasiswa turun Parlimen siri ke-8 (MANTAP 8), Gabungan Mahasiswa se Malaysia (GAMIS) dan Mahasiswa Nasional (MN).
Jelas beliau, resolusi ini ditolak oleh mahasiswa kerana ia dianggap tidak menjaga kepentingan kumpulan bekas mahasiswa yang melibatkan pelbagai isu terutamanya PTPTN.
“Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 meletakkan mahasiswa perlu membayar segera pinjaman, ini berbeza dengan dulu di mana mereka diberikan tempoh permulaan enam bulan, selepas itu setahun untuk memulakan pembayaran.
“Dari segi janji manifesto pilihan raya, walaupun untuk menghapuskan terus PTPTN di peringkat awalnya yang kemudian dipinda kepada gaji RM4000 baru dipotong tapi selepas pembentangan Bajet ini, pembayaran perlu dibuat bila mereka mendapat gaji RM1100 sebulan.
“Dari segi keistimewaannya pun tiada. Dulu siapa yang membayar secara konsisten akan mendapat diskaun tapi kali ini tidak ada… dan dulu jika mereka yang mendapat kelas pertama akan dijadikan biasiswa dan tidak perlu dibayar lagi tapi sekarang tidak ada pengumuman berkaitan hal ini,” jelas beliau dalam satu sidang media di lobi Parlimen selepas menerima resolusi tersebut.
Difahamkan resolusi tersebut juga telah diserahkan kepada Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik dan kini diserahkan kepada pembangkang agar suara mahasiswa ini dapat disampaikan dalam Dewan Rakyat.
Resolusi tersebut diserahkan oleh wakil mahasiswa Amirul Shafiq Che Ajizi.
Antara perkara dibantah di dalam resolusi tersebut adalah gaji minima RM1100 perlu dikaji semula, bantuan sara hidup golongan bujang terhapus, keistimewaan graduan kelas pertama terhapus dan penghapusan KADS1M memberi kesan kepada mahasiswa. – MediaUMNO