Lagi Laporan Polis Terhadap Waytha Moorthy, Desak PM Ambil Tindakan

PETALING JAYA, 21 Nov – Rentetan video tular yang membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy, satu demi satu laporan polis dibuat bagi mendedak pihak berkuasa melakukan siasatan segera.

Terbaru, UMNO bahagian Petaling Jaya bersama kepimpinan sayapnya turut membuat laporan polis.

Ketuanya Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata, kepimpinan bahagian itu menyelar kebiadapan Waytha Moorthy kerana apa yang dinyatakan di dalam video tersebut adalah satu fitnah dan ia merosakkkan perpaduan kaum di negara yang berbilang bangsa ini.

“UMNO bahagian Petaling Jaya menyelar kebiadapan menteri ini apatah lagi dia memegang portfolio Perpaduan dan Intergrasi Nasional. Saya sendiri sudah melihat video tersebut dan apa yang dikatakan dalam video itu adalah satu fitnah.

“… contohnya kuil India dirobohkan… menghasut kaum India untuk memeluk agama Islam… ini semua tidak wujud jadi kita mendesak agar kerajaan baru di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil tindakan terhadap menteri ini dan mengarahkan agar dia letak jawatan,” ujar beliau kepada media selepas membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini. hari ini.

Tambah Mutalif, sebagai seorang yang bergelar peguam, Waytha Moorthy seharusnya lebih peka dan sensitif dalam mengeluarkan kenyataan.

“Apa yang dilakukan oleh menteri ini boleh mencalarkan kerukunan kaum di Malaysia malah Sultan dan Agung juga sudah bertitah agar kerajaan baru ini lebih peka dan sensitif.

“Justeru, UMNO Petaling Jaya berasa terpanggil dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan menteri ini,” katanya lagi.

Dalam video berdurasi 2 minit 39 saat yang tersebar baru-baru ini, Waytha Moorthy mendakwa Malaysia melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang besar dengan mendiskriminasi hak kaum India dalam pelbagai perkara termasuk hak beragama.

Berikutan itu, ramai pihak termasuk dalam kalangan rakyat yang tidak berpuas hati dan marah seterusnya mendesak Waytha Moorthy segera meletak jawatan. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79