Belanjawan 2019: “Rumah Telah Siap Namun Kontraktor Masih Bekerja Dalam Rumah”


KUALA LUMPUR, 16 Nov – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal dalam ujian pertama apabila Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini tidak memenuhi pelbagai segmen sepertimana yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Menurutnya, ini dapat dilihat kepada banyaknya pengumuman serta perancangan yang dibuat oleh kerajaan PH hari ini bukan setakat rumah siap pahat masih berbunyi, malah boleh dianggap rumah telah siap namun kontraktor masih bekerja.

“Dulu waktu pembangkang janji bulan dan bintang. Apabila diberi ujian pertama iaitu belanjawan pertama dan belanjawan ini adalah tanda cakna kerajaan itu kepada rakyat dan mereka telah gagal dalam ujian pertama mereka.

“Cakaplah apa nak cakap kepada kerajaan BN sebelum ini dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, saya ingat kalau BN belanjawannya setiap satu kumpulan segmen masyarakat terbela di bawah BN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana U3.0 Inisiatif Ekonomi Rakyat yang diadakan di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini serta turut disiarkan secara ‘live’ melalui medium Facebook UMNO-online.

Kata Khairy lagi kerajaan PH tidak berfikir secara menyeluruh dalam merangka sesuatu dasar mahu pun pengumuman tertentu untuk rakyat.

“Sebagai contoh subsidi Petrol yang diumumkan tidak difikirkan soal pelaksanaannya. Mereka tidak fikir habis…Dalam Skim perlindungan B40, diumumkan Great Eastern Insurans kononnya menyumbang RM2 bilion dan jumlah itu akan digunakan untuk perlindungan insurans sebanyak RM8,000 setahun untuk mereka yang layak daripada B40.

“RM8,000 ini boleh digunakan di hospital swasta untuk empat penyakit kritikal. Empat penyakit kritikal ini tidak disebutkan tetapi kita boleh andaikan penyakit kritikal ini seperti kanser, jantung dan sebagainya.

“Kalau pergi hospital untuk penyakit kritikal sudah pasti bil rawatan adalah lebih RM8,000. Jadi siapa yang nak bayar baki rawatan bil berkenaan. Dan kebanyakan B40 kita ada di luar bandar… ada di Julau, Kinabatangan, Jerantut dan sebagainya lagi. Jadi hospital mana yang mereka nak pergi,” katanya.

Khairy seterusnya menambah dasar negara juga tidak menampakkan hala tuju yang jelas apatah lagi dengan kedudukan politik semasa negara yang tidak stabil untuk dia tiga tahun akan datang terutama siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.

“Kita tidak nampak ada satu hala tuju yang jelas seperti yang saya katakan tadi. Apabila kita mahu mencipta peluang pekerjaan, kita kena wujudkan peluang ekonomi melalui projek-projek besar yang dibatalkan atau pun ditangguhkan. Tahu atau tidak pelaburan daripada luar negara menjunam semenjak bulan Mei kerana ramai yang sudah tidak yakin dengan Malaysia.

“Saya jumpa ramai sama ada pelabur FDI dan ada juga pelabur yang melabur di dalam pasaran saham kita. Dua-dua dah keluar daripada Malaysia dan masa saya jumpa baru-baru ini saya tanya kepada mereka apakah syarikat akan meningkatkan pelaburan di dalam Malaysia.

“Mereka jawab kepada saya mereka tidak akan melabur di Malaysia dalam tempoh dua tiga tahun akan datang. Ketidaktentuan politik menimbulkan rasa gusar di kalangan pelabur antarabangsa. Macam mana nak ‘invest’ kalau kita tidak tahu siapa yang akan jadi perdana menteri dua tiga tahun akan datang,” tambahnya.

Tambah Khairy kerajaan terdahulu sentiasa fikir serta mengambil langkah terkehadapan dan soal pendidikan boleh dijadikan contoh apabila soal  ‘Industry Revolution 4.0’ turut diberi tumpuan.

“Dalam pendidikan, kerajaan pada masa BN bukan sahaja menyalurkan peruntukan yang besar malah banyak memberi tumpuan kepada ‘Industry Revolution 4.0’.

“Dalam inisatif ekonomi rakyat, kalau BN menang kita akan teruskan apa yang Datuk Seri Najib mulakan iaitu memperkembangkan lagi program ‘koding’ (mengatur cara) di sekolah. Sebab sekarang ini apabila kita nak bergerak ke masa depan kita kena ada usaha untuk memodenkan negara kita,” ujarnya. -MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.