ADUN Keluar Parti, UMNO Kedah Kecewa Namun Tidak Menghalang


ALOR SETAR 12 Nov. – UMNO Kedah berdukacita atas keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail yang bertindak keluar parti hari ini dan memilih sebagai wakil rakyat bebas yang menyokong Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, walaupun kesal dengan tindakan mengejut yang memberi kesan kepada parti dan jumlah kerusi pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri, UMNO Kedah menghormati keputusan beliau.

“UMNO Kedah yakin bahawa rakyat Kedah khususnya di DUN Guar Chempedak dapat menilai sendiri tindakan yang diambil oleh Ku Rahman dan menjadikan insiden ini sebagai satu iktibar yang tidak wajar diteladani pada masa akan datang.

“Pemimpin datang dan pergi, namun UMNO tetap utuh dan teguh. Meskipun terpaksa berdepan pelbagai situasi suka dan duka, parti keramat bangsa ini berpasak mempertahankan agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air. Kami tidak akan sesekali berganjak dari perjuangan ini,” katanya di sini hari ini.

Katanya, bagaimanapun, UMNO Kedah tetap bersyukur dengan semangat yang ditunjukkan oleh dua wakil rakyat BN, ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor yang terus setia bersama parti dan konsisten berjuang membawa suara rakyat ke sidang DUN Kedah.

“UMNO Kedah menyeru kepada seluruh pejuang parti di segenap inci bumi Jelapang Padi ini agar terus beristiqomah memperkasa jati diri dan menghayati roh perjuangan secara inklusif, bagi memastikan masa depan rakyat negeri Kedah terus terjamin,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, BN hanya memenangi tiga daripada 36 kerusi DUN yang ditandingi sementara Pas sebagai parti tunggal mendominasi dengan 15 kerusi.

PH pula berkongsi 18 kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) sebanyak lima kerusi, PKR (lapan), Parti Amanah Negara (Amanah) (tiga) dan Dap (dua).

Dengan perkembangan terkini di DUN ini, PH Kedah mempunyai kelebihan dengan majoriti lebih 19 kerusi berbanding pembangkang iaitu Pas dan UMNO, 17 kerusi. – UTUSAN ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit