Majlis Silaturrahim Bukti Kerjasama UMNO Dan Pas Bukan Bermusim

IPOH, 10 Nov – Kerjasama antara Pas dan UMNO bukan bermusim atau apabila tiba pilihan raya kecil (PRK) sebagaimana dakwaan sesetengah pihak sebaliknya ia adalah ikatan berterusan dengan direalitikan oleh Pergerakan Wanita UMNO dan Muslimat Pas di Perak.

Jalinan akrab tersebut telah diterjemahkan dalam Majlis Silaturrahim Ketua Wanita UMNO dan Ketua Muslimat Pas peringkat Negeri Perak iaitu Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin dan Dr Najihatussalehah Ahmad yang berlangsung di sini, semalam.

Dr Wan Norashikin melahirkan rasa syukur dan gembira kerana majlis yang julung kali diadakan ini telah berlangsung dengan lancar dan mendapat kerjasama yang sangat baik dari semua pihak.

“Sekarang ini kerjasama UMNO-Pas lebih erat dan kukuh dan amat perlu diadakan ekoran cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia secara amnya dan pengundi Melayu Islam secara khususnya.

“Lihatlah, dalam tempoh enam bulan sahaja Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memimpin, telah timbul pelbagai isu termasuklah isu ratifikasi ICERD yang bakal menggugat kedudukan hak istimewa orang Melayu seperti terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia, kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara digugat dan institusi Raja-raja diperlekeh.”

“Jelasnya, kerjasama antara UMNO-Pas adalah penyatuan bagi seluruh rakyat Malaysia dan bangsa Melayu yang beragama Islam untuk bersatu bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Sejak kebelakangan ini, kita lihat bagaimana kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi terjejas selain adanya cubaan untuk mengiktiraf komunis sebagai pejuang kemerdekaan. Ini semua perlu kita tentang dan terus bersatu,” tegasnya lagi.

Kerjasama tersebut akan berterusan dengan pelbagai program yang dilaksana bersama termasuklah Program Himpunan Perpaduan Ummah membabitkan kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas pada 17 Nov ini di Kampung Gajah.

Dalam program tersebut, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan akan berucap sepentas dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kedua-dua parti secara muafakat jelas menolak ratifikasi ICERD di samping mempertahankan agama, bangsa dan negara berteraskan Perlembagaan Malaysia. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit