UMNO Tidak Akan Dibubarkan, Bergerak Untuk Terus Kukuh – Ahmad Zahid
ALOR SETAR, 3 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bersumpah tidak akan sama sekali membubarkan UMNO walaupun terdapat pelbagai desakan.
Jelas beliau, sebagai pembangkang UMNO perlu bergerak dalam satu pasukan untuk terus kukuh.
“Saya bersumpah tidak akan bubarkan UMNO dan saya akan terus berdiri teguh. Walaupun ada desakan saya tidak akan undur dan tidak akan bercuti.
“Kita harus bergerak dalam satu pasukan yang kukuh dan saya percaya dengan sokongan yang diberi, ada cahaya dihujung terowong untuk UMNO terus bangkit dan terus relevan,” ujar beliau ketika berucap dalam program Jelajah Presiden bersama kepimpinan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO peringkat negeri Kedah di sini, hari ini.
Dalam ucapannya juga beliau memaklumkan bahawa UMNO akan membentangkan 38 langkah termasuk langkah yang dicadangkan oleh sayap-sayap parti untuk memastikan UMNO bangkit pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU-15) nanti. –
Turut hadir Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa serta kepemimpinan UMNO Pusat dan negeri. MediaUMNO