Kekuatan UMNO Bukan Pada Individu Tetapi Pada Kesepakatan Dan Kesatuan


ALOR SETAR, 3 Nov – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, kekuatan UMNO bukanlah pada individu tetapi ia adalah ketika bergerak secara bersama-sama.

Jelas beliau, UMNO bukan lagi tulang belakang kepada kerajaan maka semua pihak harus bersatu demi kelangsungan parti.

“Bila tidak jadi kerajaan… kekuatan kita tidak lagi pada individu… bila jadi pembangkang, kekuatan kita hanya ada bila bersatu dan bergerak bersama-sama.

“Kita kena belajar… lidi nan sebatang dua jari boleh patah tapi lidi yang seberkas gajah pun boleh mati… fikirlah yang mana kita mahu,” ujar beliau ketika berucap dalam program jelajah Presiden bersama kepimpinan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO peringkat negeri Kedah di sini, hari ini.

Justeru, beliau menyeru kepada semua ahli UMNO untuk bersabar sebentar dalam menghadapi kesusahan dan ketika tidak berkuasa ini.

Dalam ucapannya juga beliau berharap agar ahli UMNO jangan panik melihat ramai pemimpin UMNO yang ditahan untuk siasatan.

“Saya hairan kenapa kita harus panik… rasa kehilangan, sepatutnya kita tidak harus berasa lemah.

“Kita adalah parti yang mempunyai kerusi terbanyak tapi parti yang hanya ada 13 kerusi pula yang berasa amat yakin berbanding kita. Kelebihan mereka adalah kerana mereka kini kerajaan jadi mereka akan cari cara untuk melemahkan kita.

“Contoh seperti Presiden kita… adakah dia kena tahan sebab dia Ahmad Zahid bin Hamidi? Sudah tentu tidak… dia kena sebab dia Presiden UMNO…,” ujarnya lagi

Turut hadir ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta kepemimpinan UMNO Pusat dan negeri. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.