Belanjawan 2019 Untuk Popularkan Kerajaan, Untuk Kerajaan Dan Bukan Untuk Rakyat
KUALA LUMPUR, 2 Nov – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini secara umumnya adalah belanjawan yang diubahsuai daripada kerajaan terdahulu di mana asasnya sudah tersedia tetapi tidak ada yang menarik untuk rakyat secara keseluruhan.
Jelas beliau belanjawan tersebut juga hanyalah belanjawan untuk mempopularkan kerajaan, untuk kerajaan dan bukan untuk rakyat.
“Saya kesal kerana kerajaan sengaja menggunakan ucapan belanjawan untuk terus menghentam dan memberi gambaran terburuk kepada BN. Ini tidak sepatutnya berlaku”, katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Tambah beliau Bajet 2019 juga tidak ada garis panduan untuk wujudkan lebih banyak peluang kerja.
“Inilah yang ingin ditunggu oleh rakyat, namun amat menghampakan. Bajet hanya sebut rancangan latihan dan bimbingan. Ia mengambil masa sedangkan rakyat mahu penyelesaian segera.
“Bagaimanapun, ada yang boleh dianggap baik, khasnya penerima BR1M dan bantuan lain. Apapun, ia tidak menyeluruh dan hambar.
“Tidak ada yang istimewa untuk rakyat, terutama bagi mengatasi isu kos sara hidup mereka. Banyak berkisar pada skim kesihatan dan dividen yang longgar”, ujarnya.
Sambil mengakui memang ada berita baik mengenai pengguna pengangkutan awam namun menurut Zahid ia lebih kepada pengguna di tempat–tempat yang ada LRT dan MRT.
Beliau seterusnya melontarkan persoalan RM314.5 bilion akan diperolehi dari mana jika kerajaan berkata hutang negara berjumlah RM1 trilion? Mana perkiraan fiskalnya?
“Walaupun ada kebaikan, seperti RM1.2 bilion untuk kemajuan Islam, tidak ada pengkhususan langsung bagi menarik dan meningkatkan semula pelaburan asing. Dari mana kita akan dapat hasil?.”
Justeru katanya biarlah rakyat sendiri yang menilai belanjawan ini, sama ada hak dan keistimewaan mereka dipulangkan atau sebaliknya. Waktu akan menentukan. -MediaUMNO