Kerajaan PH Tak Perlu Terburu-buru Untuk Meratifikasi ICERD


KUALA LUMPUR, 1 Nov – UMNO menggesa Kerajaan Malaysia untuk tidak bertindak terburu-buru untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kebimbangan serta suara yang menentang pelan Kerajaan Malaysia untuk meratifikasi ICERD adalah tindakan yang berasas dan mesti diberikan perhatian serius.

“UMNO secara jelas dan tegas menzahirkan rasa tidak bersetuju dan ingin menyarankan agar Kerajaan Malaysia membuat penelitian yang lebih terperinci dan mempertimbangkan semula keputusan ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Lebih-lebih lagi katanya, sekiranya didapati bahawa kesan meratifikasi ICERD akan memaksa Malaysia untuk mengubah apa-apa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, peruntukan undang-undang sedia ada atau mana-mana program rekayasa sosial yang kita jalankan selama ini.

“UMNO, khususnya melalui Majlis Dasar Awam, akan terus memperhalusi perkara ini dan melakukan kerjasama dengan pelbagai pihak dari semasa ke semasa untuk mendapatkan input serta kefahaman yang lebih luas berkenaan ICERD dan kesan-kesannya.

“Yang pasti, UMNO menggesa Kerajaan Malaysia untuk tidak bertindak terburu-buru dalam perkara ini. Terlajak perahu boleh kita undur. Namun, tersalah langkah dalam menerima konvensyen antarabangsa yang tidak sesuai dengan konteks dan keperluan tempatan, pasti akan mengundang sesalan,” tegasnya lagi.

Dilaporkan, hasrat kerajaan yang komited untuk meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama 2019 telah disuarakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy pada 24 Oktober lalu yang katanya adalah selaras dengan manifesto PH. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.