Kerajaan PH Digesa Tangani Krisis Sosio Ekonomi Yang Lebih Mega


KUALA LUMPUR, 31 Okt – Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari melontarkan kekhuatiran terhadap ekonomi semasa negara dan berharap masalah tersebut tidak akan menjadi punca kepada krisis sosio-ekonomi yang lebih mega.

Serentak itu beliau menggesa agar kerajaan mengusahakan sesuatu yang lebih berkesan agar ekonomi negara kembali ke landasan sebenar kerana ianya adalah perkara yang lebih besar dan penting saat ini.

“Hari ini pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 rakyat sedang menerima ‘janji’ di luar manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dianggap jauh daripada impian yang digambarkan. Tidak salah pun ada segelintir rakyat Malaysia yang menganggap Malaysia Baru pasca PRU-14 adalah lebih baik.

“Namun setakat lima bulan pertama ini segalanya dilihat serba tak kena. Ekonomi negara semakin merudum. Kejatuhan nilai ringgit amat mendukacitakan dan rakyat yang berniaga mahupun melancong luar negara terasa bahananya.

“Bagi petani dan peladang mereka menghadapi kejatuhan harga sawit, getah hinggakan penanam cili merah tempatan terpaksa bersaing dengan cili import,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelasnya lagi itu semua adalah masalah makro di dalam negara dan dalam konteks ekonomi mikro, baru-baru ini di Seksyen 20 beberapa gerai di tepi jalan milik peniaga tempatan dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Adakah wajar di saat ekonomi sedang merosot, rakyat yang mencari nafkah dengan berniaga kecil-kecilan dihalang berniaga, sedangkan mereka mempunyai keluarga untuk diberi makan”, ujarnya.

Jelas beliau sepatutnya selepas Kerajaan Persekutuan yang baharu memerintah, rakyat lebih mudah untuk berniaga dan mencari rezeki namun sebaliknya berlaku.

“Syarikat besar dibatalkan kontrak mereka. Pekerja yang bekerja dengan agensi Kerajaan Persekutuan terdahulu ditamatkan perkhidmatan seperti kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

“Jika bekerja dengan Kerajaan ditamatkan perkhidmatan, berniaga gerai tepi jalan pula dirobohkan maka ke mana haluan rakyat hendak mengadu. Puluhan ribu yang bakal menganggur dicampur dengan lepasan universiti yang sedang mencari kerja akan mewujudkan krisis sosial yang bakal meletup bila-bila masa,” katanya.

Tegas beliau keluhan rakyat dalam kalangan netizen kedengaran mengharukan dan mereka menganggap pertukaran Kerajaan sebagai simbolik demokrasi bersuara lantang kini menjadi suara sayu mendoakan dipulangkan nikmat sebagaimana di zaman Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

“Keluhan-keluhan ini bukan sahaja dirasakan rakyat marhaen, tetapi golongan menengah yang bekerja sebagai jurutera projek, pembekal, kontraktor bagi projek mega yang ditender semula.

“Dan jika benar negara banyak berhutang langkah menambah cukai hanya memburukkan keadaan bukan menambah baik,” ujarnya. -MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.