Nama Parti Pribumi.. Kenapa Suka Serang, Buat Provokasi Perkara Asas Negara?


KUALA LUMPUR, 30 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan perasaan terkilan atas sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lebih suka menimbulkan isu-isu provokasi yang berhubung kait dengan perkara-perkara asas negara.

Ujarnya, adalah menjadi suatu kewajipan kepada kerajaan kini memfokuskan masa dan tenaga untuk memikirkan inovasi baharu bagi menambahbaik kedudukan masyarakat dan bukannya perkara yang mampu merobek kontrak sosial.

“Ketuanan Melayu misalnya. Ini bukan perkara baharu, dan ini bukan perkara kecil dan remeh. Ini asas negara ini. Ini tunjang Perlembagaan Persekutuan dan rujukan dalam membentuk kontrak sosial.

“Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia; PPBM) lantang menyatakan bahawa UMNO telah gagal menjaga orang Melayu. Jadi, sepatutnya Bersatu tampillah menjadi pembela orang Melayu dan peribumi, selari dengan nama dan slogan perjuangan parti mereka sendiri.

“Melainkan istilah ‘pribumi’ dalam PPBM itu tidak lebih sekadar sogokan dan nama yang tidak ada apa-apa erti,” tegasnya dalam satu kenyataan di facebook miliknya, mengulas isu Ketuanan Melayu yang diperkecil-kecilkan oleh pemimpin parti tersebut.

Seterusnya Mohamad menasihatkan kepada kerajaan terutama PPBM agar lebih fokus membantu kaum Melayu dan peribumi sekiranya beranggapan mereka masih lemah.

“Kalau Melayu dan peribumi lemah, bantu. Kalau ekonomi serta pendidikan Melayu dan Bumiputera lemah, bantu. Bukan menyerang dan membuang konsep Ketuanan Melayu, yang selama ini tidak ada masalah pun.

“Melainkan Bersatu sendiri sebenarnya tidak faham apa itu Ketuanan Melayu dan perjuangan membela peribumi yang menjadi struktur asas Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Tegas Mohamad lagi, pemimpin parti tersebut janganlah bersikap seperti ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’ serta janganlah marahkan pemimpin Melayu, ketuanan bangsanya yang dicabar. – Media UMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit