Presiden Dan Kepimpinan Tertinggi UMNO Ke Seluruh Negara


KUALA LUMPUR, 25 Okt – Terengganu menjadi negeri pertama Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam siri turun padang ke negeri-negeri.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata program yang telah dirancang oleh kepimpinan UMNO ini disertai oleh pimpinan tertinggi parti dengan menjelajah ke semua negeri bermula Jumaat ini dan akan berakhir di Kelantan.

“Program yang dilaksanakan ini adalah sebahagian daripada langkah yang digariskan oleh Presiden UMNO ketika membentangkan hala tuju parti dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO 2018 bulan lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya, antara pengisian sepanjang program ialah pertemuan beliau dan saf pimpinan parti bersama pimpinan peringkat negeri dan UMNO Bahagian semua peringkat selain ceramah isu semasa oleh tokoh dan pakar khas dalam pelbagai bidang.

“Program ini sejajar usaha membangkit idealisme perjuangan UMNO agar UMNO Bangkit semula dan mampu terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai parti Rumpun Melayu yang terbesar di negara ini.

“Presiden UMNO dalam ucapan dasarnya telah menyatakan hala tuju utama parti adalah untuk menang pada PRU ke-15 dan kembali berkuasa. Untuk itu segala usaha kini perlu difokuskan bagi memastikan UMNO terus kukuh dan mendapat keyakinan serta sokongan rakyat.

“Ahli UMNO perlu bersama-sama Presiden dan saf kepemimpinan parti menggerakkan program dan kegiatan untuk membela nasib rakyat di seluruh negara.” – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit