Ini Bukan ‘Pasar Malam’…. Kecewa Menteri Dan Timbalan Menteri Tiada Di Parlimen


KUALA LUMPUR, 25 okt – Ini bukan ‘pasar malam’, sebab itu kita perlukan menteri atau timbalan menteri yang berkenaan untuk menjawab soalan yang ditujukan untuk kebaikan dan kepentingan rakyat.

Demikian luahan kekecewaan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Dr Wee Ka Siong susulan ketiadaan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya,  Datuk Mohd Azis Jamman di dalam Dewan Rakyat untuk menjawab soalan pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.

“Sebentar tadi kita lihat aksi menarik di dalam dewan, saya terkejut kerana soalan 13, tiada wakil daripada kementerian yang jawab. Saya tahu menteri kurang sihat, tiada masalah, tapi sekurang-kurangnya mesti ada timbalan menteri untuk menjawab soalan.

“Sebab itulah saya gunakan Peraturan Mesyuarat 21 (1a), pertanyaan-pertanyaan bolehlah diarahkan kepada menteri berkenaan dengan hal-hal urusan dalam kementerian. Kalau Dewan Rakyat berbeza dengan Dewan Negara, Dewan Negara kita boleh wakilkan mana-mana Senator untuk menjawab jika wakil yang sepatutnya menjawab soalan itu tidak hadir.

“Tapi dalam Dewan Rakyat, tidak boleh. Ini konvensi dalam Dewan Rakyat. Apa yang berlaku tadi sangat menakjubkan. Saya melihat mereka tidak bersedia.  Mereka mungkin tidak menjangkakan soalan mungkin sampai sehingga nombor 13.

“Jadi kita minta Speaker buat satu ‘ruling’. Kita tidak boleh biarkan perkara ini. Tidak gunalah kita tanya soalan sebab apa yang kita tanya secara spesifik terhadap kementerian berkenaan. Apa guna waktu pertanyaa lisan. Jadi saya berasa sedih dan minta supaya Speaker buat satu ‘ruling’. Speaker perlu disiplinkan menteri dan timbalan. Tiada menteri, perlu ada timbalan, Dewan Negara lain cerita… boleh tumpang tanya dan boleh tumpang jawab. Saya berharap kita menghormati Dewan rakyat dan inilah peraturan mesyuarat yang ada,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Khamis.

Kekecohan timbul apabila soalan nombor 13 yang berkaitan pembinaan baru Ibu Pejabat Polis Saratok dijawab oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Ka Siong turut meminta Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof untuk membuat ‘ruling’ terhadap isu tersebut memandangkan Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid  Hasnon yang ketika itu mempengerusikan sidang Dewan Rakyat ‘tidak mampu’ membuat ruling dan bertindak menutup pembesar suara bagi meredakan kekecohan.

“Atas permintaan, Timbalan Speaker telah minta Speaker untuk membuat ruling, bagi kebaikan bersama. Saya juga akan menulis surat kepada Speaker agar ruling dapat dibuat dan hormati keputusan yang dibuat.

“Saya terima cadangan Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye untuk membawa isu ini ke dalam dewan. Kita orang beradab, cara baik kita boleh terima. Ini perkara tidak elok di pandang masyarakat,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.