UMNO Masih Wujud, Bergerak Sebagai Parti Politik Terbesar Di Malaysia – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 24 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menolak dakwaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa UMNO sudah tidak ada dan ia tidak memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara, melainkan hanya mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kenyataan sedemikian adalah tidak benar. UMNO waktu ini wujud, berfungsi dan bergerak sebagai parti politik terbesar di Malaysia,” bidasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tegas beliau, UMNO secara hakikatnya mempunyai lebih ramai ahli, lebih ramai pengundi dan lebih banyak kerusi, kecuali beberapa ahli parlimen UMNO yang meninggalkan parti, tidak berlaku gerakan besar-besar meninggalkan UMNO.
“Sekalipun saya akui UMNO berada dalam keadaan yang lemah dan susut pengaruhnya, Perhimpunan Agungnya yang lepas telah mengambil keputusan untuk merawat, memulih dan membangunkan semula UMNO sebagai gerakan kebaikan untuk bangsa Melayu dan Malaysia.
“Walaupun diakui ada beberapa pemimpin UMNO sebelum ini yang melakukan perhitungan yang tersasar, janganlah kita menghukum jutaan orang Melayu yang bernaung di bawah UMNO. Mereka adalah ahli biasa, yang tinggal di seluruh pelusuk tanah air dan tidak melakukan apa jua kesalahan.
“Insya-Allah, iltizam saya dan rakan-rakan ialah UMNO itu akan kami pulih dan islahkan. Apabila sampai garis masanya, insya-Allah UMNO bukan sahaja akan terus berkelangsungan tetapi menjadi wadah yang lebih baik dan berwibawa,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO