Jangan Hentikan Projek Untuk Rakyat Untuk Hukum Rakyat, Ini Tidak Adil – Jazlan


KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyifatkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghentikan segala projek untuk rakyat yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan alasan untuk mengkaji semula projek-projek tersebut sebagai tidak adil.

Ini kerana menurut beliau, adalah tugas kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat sepanjang waktu tanpa perlu melihat dari segi masa dan tempoh.

“Dari segi konteks pembelaan kerajaan terhadap rakyat, kita dapat lihat dari segi projek-projek dan prasarana, sama ada projek berskala besar ataupun kecil, tiba-tiba terhenti. Projek ini terhenti kerana kerajaan PH sedang membuat kajian semula terhadap projek-projek berkenaan.

“Bagi saya ini tidak adil. Ini kerana, sebagai sebuah kerajaan, tanggungjawab kepada rakyat tidak perlu melihat dari segi masa atau pun tempoh. Sebagai contoh di projek dan prasarana di Kelantan. Kerajaan terdahulu tidak pernah menghukum negeri Kelantan walaupun negeri itu diperintah oleh parti yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.

“Boleh dikatakan, apa saja masalah yang diluahkan oleh rakyat Kelantan, kerajaan terdahulu sentiasa peka dan seterusnya menjadi sebahagian daripada kecaknaan kerajaan terdahulu untuk membela rakyat di Kelantan, tetapi sekarang ini, semua tertangguh,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi Dari Parlimen yang membawa tajuk ‘Siapa Membela Rakyat?’ yang disiarkan secara langsung melalui facebook rasmi UMNO Online pada Isnin malam.

Tambah beliau, apabila ditanya mengapa projek tersebut ditangguhkan dan sampai bila ia akan ditangguhkan, kerajaan baru hari ini hanya memberikan jawapan bahawa segala projek tersebut sedang dikaji semula.

“Saya pun tidak faham. Bermula daripada hari pertama menjadi kerajaan sehinggalah sudah masuk enam bulan, masih lagi nak kaji. Kita tak tahu berapa lama lagi mereka mahu mengkaji,” jelas Ahli Parlimen Machang itu lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan hari ini juga tidak boleh lagi menjadikan alasan kekangan kewangan untuk menghentikan segala projek-projek yang telah dirancang untuk rakyat.

“Sesebuah kerajaan yang mendapat kepercayaan daripada rakyat menjadi tanggungjawab mereka untuk mengatasi masalah kewangan. Janganlah disebabkan oleh beberapa perkara, isu kekangan kewangan ini diungkit dan diungkit berkali-kali sehingga ia cukup membosankan rakyat.

“Sebagai sebuah kerajaan, mereka perlulah mencari kaedah, cara atau alternatif bagaimana untuk memenuhi lompong-lompong yang kosong ini, kerana tanggungjawab kita yang sebenarnya adalah kepada rakyat.

“Di dalam sebuah negara demokrasi seperti di Malaysia ini, apabila dipilih oleh rakyat untuk menjadi kerajaan, maka kecaknaan dan keprihatinan kepada rakyat mestilah menjadi satu teras yang utama,” tegasnya.

Beliau juga menegaskan, alasan-alasan seperti kerajaan hari ini sebuah kerajaan baru yang patut diberikan masa adalah tidak relevan dan tidak boleh diterima.

“Mereka kata, kerajaan baru, bagilah masa… bagilah peluang, tetapi mereka terlupa, ianya memang kerajaan baru, tetapi perdana menterinya adalah perdana menteri yang lama. Perdana Menteri Kerajaan PH hari ini pernah memerintah negara selama 22 tahun.

“Dari segi konteks negeri Kelantan, perdana menteri kerajaan baru hari ini pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan. Beliau faham sangat apa keperluan untuk rakyat di negeri Kelantan,” ujarnya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.