Kedudukan Ahmad Zahid Diputuskan Bulan Depan
KUALA LUMPUR 22 Okt. – UMNO dijangka membincangkan kedudukan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi bulan hadapan.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara tersebut tidak lagi dibincangkan ketika ini kerana dianggap tidak memerlukan kesegeraan.
“Setakat ini belum ada apa-apa keputusan, belum bincang. Setakat ini belum ditetapkan dan kita tidak anggap itu sebagai sesuatu yang perlu disegerakan. Mungkin mesyuarat bulanan kita bulan depan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Annuar berkata setakat ini kedudukan Ahmad Zahid, yang menghadapi tuduhan di mahkamah, tidak dibincangkan kerana ia dianggap tidak memerlukan kesegeraan.
“Kita kena ikut perlembagaan. Segalanya ada dalam perlembagaan jadi kita akan ikut apa yang ada dalam perlembagaan. Setakat ini belum ada apa-apa keputusan (mengenai kedudukan Ahmad Zahid),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Jumaat lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.
Sementara itu, Annuar berkata UMNO tidak mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai anggotanya yang berjawatan tinggi perlu mengambil cuti jika menghadapi tuduhan di mahkamah.
“Istilah SOP Itu tak berapa tepat, yang kita ada Perlembagaan dan peraturan parti. Kadang-kadang istilah ni digunakan mungkin untuk menjelaskan sesuatu kenyataan tapi secara faktanya dalam UMNO ada Perlembagaan parti dan peraturan, itu jadi garis panduan, “katanya. – UTUSAN ONLINE